BIARPUN aksi tertangguh lebih setengah jam pada suku keempat, ia langsung tidak menghalang Terengganu Hockey Team (THT) untuk menjulang trofi sulung 2023, selepas menang perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) sekali gus menjulang Piala Sumbangsih.

Begitupun, TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin berada di depan pada minit ke-13 apabila memperoleh gol padang melalui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

THT berjaya mempertahan Piala Sumbangsih selepas mengatasi TNB 4-3 dalam perlawanan sengit di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. – Ihsan HOKITA

Seminit kemudian THT berpeluang menyamakan kedudukan selepas memperoleh pukulan sudut penalti, namun tonggak import mereka, Jang Jonghyun gagal menyempurnakan peluang dengan pukulan pertama terkena kaki Syed Syafiq Syed Cholan, manakala pukulan kedua berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohammad Hairi Abd Rahman.

Selepas aksi suku kedua bersambung THT akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan, apabila Fitri Saari melakukan gerakan solo sebelum melepaskan pukulan kilas pada minit ke-20.

Perlawanan antara THT dan TNB berlangsung sengit dalam hujan lebat, menyaksikan permainan terpaksa ditangguhkan selama lebih 30 minit. – Ihsan HOKITA

TNB kembali berada di depan apabila Syed Syafiq berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada awal suku ketiga namun Jonghyun berjaya menyamakan kedudukan juga menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang skuad kebangsaan, Shello Silverius meletakkan THT di depan buat kali pertama apabila berjaya menyempurnakan jaringan ketiga pada minit ke-43.

Namun TNB menggunakan kesempatan apabila THT kehilangan tiga pemain akibat dilayangkan kad, menyaksikan Amirul Hamizan Azahar menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-49.

Ketika pemenang dijangka ditentukan menerusi penalti shoot out, Jonghyun muncul wira THT apabila berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-58, sekali gus  membolehkan THT mempertahan Piala Sumbangsih, dan meraih tiga mata penuh untuk LHM.

Maybank (jersi kuning) mencatat kemenangan pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila membelasah TNB Thunderbolts 10-0. – Ihsan HOKITA

Sementara itu, dalam tiga lagi perlawanan liga, Maybank membelasah TNB Thunderbolt yang dibimbing M Kaliswaran 10-0.

Pertemuan antara ATM dan Young Tigers pula menyaksikan Young Tigers menang 2-0 manakala aksi di Bertam, Pulau Pinang, Nurinsafi Sporting tewas 2-6 kepada UiTM HA-KPT.

Dalam saingan Piala Sumbangsih wanita, Negeri Sembilan berjaya muncul juara selepas menang penentuan shoot out ke atas KPT Uniten Thunder 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.