BLOK latihan fizikal yang dilalui pemain negara ketika ini, menampakkan kemajuan demi kemajuan ketika Young Tigers mencatat kemenangan ketiga dalam siri perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Western Australia, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Pada perlawanan ketiga, skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim mengatasi Western Australia dengan keputusan 7-3, sekali gus memperbaiki dua persembahan awal yang mencapai kemenangan 3-1.
“Di suku pertama agak menurun sedikit prestasi kerana mereka dalam blok latihan fizikal, memang boleh nampak mereka ada mula rasa sakit tapi saya selalu ingatkan, yang ini adalah blok latihan… memang tak ada kompromi.
“Perlawanan perlu ditamatkan dengan baik dan sudah tentu dari segi jaringan nampak bagus dan ia membuatkan saya gembira hari ini kerana banyak jaringan padang. Satu petanda positif dan saya harap momentum ini berkekalan, berterusan,” kata Amin selepas perlawanan.

Aksi ketiga Young Tigers menentang Western Australia. Pix Hokita
Dalam perlawanan itu, Young Tigers ketinggalan satu gol selepas Western Australia membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi jaringan padang. Saiful Shahril menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Amirul Aiman meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti.
Hariss Iskandar dan Mughni masing-masing meledak satu gol pada minit ke-25 dan 28 sebelum Faris Harizan menjaringkan gol kelima menerusi pukulan penalti strok (m-34). Pasukan pelawat selepas itu menjaringkan gol kedua mereka pada minit ke-44 menerusi jaringan padang.
Akirullah meledak gol keenam pasukan pada minit ke-45 menerusi jaringan padang sebelum Saiful Shahril memuktamadkan jaringan Malaysia selang dua minit kemudian. Begitupun, Western Australia berjaya membolosi gawang gol negara pada minit ke-55 menerusi pukulan sudut penalti.

Fasa blok latihan fizikal dilalui pemain remaja lelaki negara ketika ini, menampakkan peningkatan prestasi pada perlawanan ketiga persahabatan antarabangsa menentang Western Australia. Pix Hokita
“Secara keseluruhan nampak peningkatannya. Sudah tentu setiap perlawanan itu ada kelemahan atau kesilapan yang berbeza-beza. Secara keseluruhannya, kita kena tambah baik daripada organisasi pertahanan sebab kalau tengok, di ketiga-tiga perlawanan kita bolos gol.
“Hari ini juga ada bolos walaupun dapat menjaringkan gol yang banyak. Jadi kita kena tambah baik dan dari perlu tingkatkan jaringan padang. Itu sesuatu yang bagus. Yang paling besar saya rasa dari segi bertahan sebagai satu unit dan reaksi,” katanya.
Perlawanan persahabatan dengan Western Australia yang menjadi antara medan latihan buat Young Tigers menjelang Piala Remaja Dunia di Kuala Lumpur, Disember ini, bakal melabuhkan tirainya esok dan skuad negara akan cuba melakar kemenangan yang keempat.