MAJLIS penutup Sukan Solidariti Islam ke-6 di Riyadh, membuka tirai baharu buat Malaysia apabila Selangor sah menerima amanah menganjurkan edisi ketujuh temasya itu pada 2029.

Detik bersejarah itu dimeterai selepas pengumuman rasmi dibuat pada Perhimpunan Agung ISSA ke-14, sebelum upacara simbolik penyerahan bendera berlangsung penuh istiadat di Stadium Universiti Puteri Nourah Bint Abdulrahman.

Upacara itu menyaksikan Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi (SOPC), Putera Fahd Bin Jalawi Bin Abdulaziz Bin Musaed menyerahkan bendera ISSA kepada Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal sebagai simbol tirai penutup edisi Riyadh.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi (berbaju Melayu), bersama Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali mengibarkan bendera Sukan Solidariti Islam sebagai tanda mengambil alih penganjuran edisi 2029. |FOTO MOM

Lebih bermakna, Putera Abdulaziz kemudiannya menyerahkan bendera berprestij itu kepada Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi bersama Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali, sekali gus menandakan Selangor dan Malaysia kini pemegang amanah rasmi temasya 2029.

Mohd Nasir dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada ISSA atas keyakinan yang diberikan, menyifatkan peluang itu sebagai detik penting dalam gerakan sukan Islam di Malaysia.

Beliau menegaskan Malaysia bersama Selangor komited mempersembahkan penganjuran bertaraf dunia, disulami sentuhan ‘Malaysian Hospitality’ yang menjadi identiti temasya antarabangsa negara.

“Jumpa anda di Selangor pada 2029,” katanya ringkas namun penuh makna, menutup satu bab dan membuka lembaran baharu perjalanan sukan solidariti Islam di Malaysia.