KEJUTAN terbesar Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 akhirnya tercipta apabila atlet berusia 18 tahun dari Sabah, mengungguli acara 200 meter (m) lelaki.

Pengiran Aidil Auf Hajam mengatasi barisan atlet senior yang dianggap ‘abang’ termasuk bekas pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan untuk memenangi pingat emas 200m.

Aidil pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 21.54 saat (s),mengatasi atlet kebangsaan yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jonathan Nyepa yang mencatatkan masa 21.67s manakala Kwong Kar Jun dari Wilayah Persekutuan ketiga dengan catatan 21.89s.

Pengiran Aidil Auf Hajam mengejutkan atlet senior pada saingan kali ini.

Khairul Hafiz yang mewakili Melaka sekadar mengakhiri larian di tempat tercorot daripada tujuh atlet yang beraksi dengan catatan 22.64s.

“Syukur, Alhamdulillah saya dapat pengalaman baharu daripada persaingan itu. Walaupun usia saya masih muda, namun bagi saya ia hanyalah angka kerana yang paling penting kita sentiasa bekerja keras.

“Saya tidak mahu selesa dengan kejayaan ini, saya akan terus bekerja keras untuk melakukan catatan yang lebih baik lagi,” kata Aidil yang mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m 21.45s.

Sementara itu, saingan 200m wanita menyaksikan wakil ATM, Zaidatul Husniah Zulkifli muncul juara dengan catatan masa 24.38s.

Dia mengatasi dua rakan sepasukan, S Komalam yang mengakhiri saingan di tempat kedua dengan catatan 25.02s manakala Siti Fatimah Mohamad ketiga dengan catatan 25.36s.

Bagi acara 200m hari ini, tiada seorangpun atlet negara melepasi masa kelayakan ke Sukan Sea Kemboja.