OLAHRAGA Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan apabila sasaran pingat ke Sukan SEA Thailand bulan depan, masih tidak diumumkan, menimbulkan tanda tanya mengapa sebuah persatuan yang membimbing atlet setiap hari masih memilih untuk menunggu perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berani menetapkan angka rasmi.

Persoalan itu semakin kuat berlegar kerana atlet yang bakal bertanding berada sepenuhnya di bawah jagaan persatuan, menjalani latihan intensif mengikut program mereka dan beraksi di bawah pemantauan jurulatih lantikan mereka, justeru timbul persoalan mengapa sasaran masih perlu dikunci seolah-olah belum memahami kemampuan skuad sendiri.

Presiden Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim mempertahankan pendirian berhati-hati itu, apabila menjelaskan bahawa penilaian akhir belum boleh dibuat kerana bukti prestasi terkini perlu diteliti secara menyeluruh sebelum memuktamadkan sasaran rasmi.

“Sasaran belum boleh umum, kita perlu lihat statistik keseluruhan… ada lagi kejohanan yang sedang diikuti atlet Malaysia dan negara jiran, bila semua data lengkap baru kita kemukakan kepada MSN,” katanya, selepas lawatan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah di MSN pada Jumaat.

Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Thailand 2025, Nurul Huda Abdullah melawat skuad olahraga negara di MSN.

Begitupun, pendekatan ‘tunggu dan lihat’ itu turut menimbulkan tanda tanya baharu dalam kalangan pemerhati sukan, adakah persatuan benar-benar yakin atau masih berhati-hati kerana bimbang meletakkan sasaran yang akhirnya memakan diri menjelang temasya di Bangkok.

Dalam pada itu, Karim turut mengingatkan bahawa pencapaian lapan emas skuad olahraga pada Kuala Lumpur 2017 bukan ukuran tepat untuk edisi kali ini kerana struktur pasukan, kekuatan atlet dan suasana persaingan banyak berubah sejak beliau kembali mengambil alih pucuk pimpinan enam bulan lalu.

Beliau memaklumkan satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengumumkan sasaran rasmi, sekali gus menjawab segala persoalan yang kini berlegar dalam kalangan media, peminat dan komuniti olahraga tanah air.

“Tiada siapa pergi Bangkok untuk kalah, kita akan cuba sehabis baik… galakan dan sokongan sangat penting,” katanya sambil mengingatkan bahawa skuad olahraga yang membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa di Kemboja dua tahun lalu kini berada dalam misi mencipta kebangkitan baharu.