PENGENDALI Sri Pahang FC Datuk Dollah Salleh ternyata kecewa dengan persembahan pasukannya selepas tewas 1-5 di laman sendiri kepada Terengganu FC pada aksi pembukaan Piala Malaysia 2022, Khamis.

Malah Dollah mengakui dua gol awal pihak lawan menjadikan semua perancangannya tidak menjadi.

“Memang hari ini serba tak menjadi. Pada minit awal melepaskan gol ini satu kesilapan besar.

“Malam ini pertahanan longgar. Saya macam tak percaya apa yang berlaku malam ini.

“Kami cuba bangkit juga, dan dapat satu gol. Tapi benda sama jadi pada separuh masa kedua.

“Itu mematah persembahan malam ini,” jelasnya selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Dollah akan cuba perbaiki kelemahan pada aksi timbal balik pada 1 November ini.

“Kita kena main jugalah. Kita ada masa 90 minut lagi. Dalam bola sepak saya percaya macam-macam boleh berlaku.

“Saya harap kita boleh lakukan sesuatu khasnya bahagian pertahanan yang saya rasa macam hari ni memang tak tahu apa yang berlaku.

“Satu lawan satu mudah sangat pertahanan dipotong oleh pihak lawan.

“Ini punca yang ketara dalam pasukan,” tambahnya.

Pada aksi tersebut Terengganu FC berjaya membawa balik bekalan selesa dengan kemenangan 5-1.