SKUAD Selangor berjaya muncul juara edisi ke-100 Piala Emas Raja-Raja apabila menunjukkan PDRM 3-2 dalam aksi dramatik yang berlanjutan sehingga masa tambahan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang baik dalam keadaan padang yang lembap akibat hujan namun ianya tidak menjejaskan momentum permainan untuk menepati status sebagai perlawanan akhir.

Selangor mendahului seawal minit ketiga oleh Adim Muzahhir namun disamakan jaringan Fakhrul Azim berselang 20 minit kemudian untuk keputusan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama dalam aksi yang cukup pantas.

Bersambung babak kedua, PDRM dibawah kendalian Rohaizan Md Ribi berjaya mendahului Selangor 2-1 hasil jaringan Iskandar Ismail sebelum satu sepakan percuma cantik Amirul Haziq meletakkan Selangor kembali terikat 2-2 ketika permainan berbaki 15 minit untuk ditamatkan.

Kedudukan 2-2 terikat hingga minit ke-90 dan kedua-dua pasukan terpaksa menghadapi masa tambahan 30 minit bagi menentukan siapakah yang bergelar pemenang edisi ke-100.

Ketika permainan hampir ditentukan menerusi penentuan penalti, Nazrin Nasir melonjak tinggi menanduk sepakan percuma untuk memberikan gol ketiga sekaligus gol kemenangan buat Selangor.

Dengan kemenangan ini Selangor membawa pulang trofi kejuaraan beserta wang tunai RM50,000 manakala PDRM selaku naib juara membawa pulang RM30,000 dan Nazrin Nasir dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.