KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui kegagalan menyudahkan beberapa peluang di hadapan pintu gol jelas mengganggu psikologi dan fikiran pemain untuk tampil lebih yakin memburu jaringan.
Selain itu, kebangkitan yang dipamerkan The Jangs terus menghambat Selangor FC apabila mereka dua kali berjaya menyamakan kedudukan dan ianya sudah tentu memberi tekanan khususnya kepada pemain muda.
“Saya rasa ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Kita pun rasa keyakinan pemain itu sedikit terganggu apabila gagal menjaringkan gol walaupun memiliki peluang terbuka.

“Apabila mereka gagal menjaringkan gol, ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan psikologi pemain. Mereka juga masih muda, sebab itu tahap keyakinan sedikit terganggu. Terutama, kita telah mendahului, selepas itu bolos, kembali mendahului, bolos sekali lagi, ” ujarnya dalam sidang media selepas tamat perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Bagaimanapun, ianya berjaya diatasi pada babak kedua apabila Gergasi Merah kembali tampil mempamerkan corak sebenar permainan mereka.
“Pada separuh masa kedua, kita nampak dari segi kestabilan pasukan, dan pengawalan bola semakin baik dan kita telah kembali kepada permainan sebenar kita,” katanya.

Tan Cheng Hoe
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan perlu berpijak pada bumi yang nyata bahawa kualiti barisan kedua yang dimiliki kelab tersebut jauh berbeza dengan barisan pertama pemain yang diturunkan pasukan Selangor FC.
Selain faktor kualiti, K. Devan mengakui gol awal yang dijaringkan Selangor FC menerusi Herlison Caion pada minit ke-10 sedikit sebanyak menenggelamkan corak permainan The Jangs.
“Kualiti antara pasukan Selangor FC dan Negeri Sembilan FC adalah berbeza. Kualiti barisan kedua yang kita turunkan tidak sama tahap dengan barisan pertama Selangor FC.
“Pada separuh masa pertama kita menerima gol awal, itu sedikit sebanyak merencatkan permainan kita. Sekiranya kita tidak terima gol awal, saya rasa mungkin kita boleh buat sesuatu dalam permainan ini,” jelasnya.

Biarpun begitu, Devan tetap berbangga dengan pencapaian Kapten Pasukan Negeri Sembilan FC, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak yang mempamerkan kewibawaan sebagai seorang ketua membimbing pemain lain.
Mengakhiri saingan musim 2022, pengendali berasal dari Bahau itu tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukan NSFC yang berjaya menamatkan saingan dalam posisi keempat Liga Super selain berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2022.
“Pencapaian kita adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya amat berpuas hati dengan komitmen pemain terutama kapten pasukan, Zaquan Adha.
“Kita menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat dan berjaya hingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, ia sesuatu yang membanggakan,” kongsinya.