SAINGAN Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) yang bermula sejak 18 Februari lalu menyaksikan sebanyak 35 perlawanan telah dilangsungkan dengan melakar 245 gol keseluruhan selepas perlawanan kelapan.
Setakat ini, pemain import Selangor MAC Ali Ebrahimi dari Iran merekodkan penjaring terbanyak liga iaitu dnegan 13 gol sekaligus meletakkan pasukannya di tangga teratas Kumpulan B dengan 21 mata.

Sumber : Instagram Ali Ebrahimi
Sementara itu, pasukan Terengganu pula mengumpul gol tertinggi dalam perlawanan di tempat pihak lawan apabila menewaskan ATM 12-0 sebelum ini. Ia sekaligus meletakkan ATM di tangga tercorot Kumpulan A dengan hanya satu mata.
Johor Darul Tak’zim (JDT) yang berada di kedudukan kedua Kumpulan B merupakan pasukan yang berjaya mengutip jaringan paling tertinggi dalam perlawanan di tempat sendiri apabila membelasah Kuala Lumpur 12-1 pada 29 April lalu.

Sumber : Facebook JDT Futsal
Namun apa yang menarik, persaingan Kumpulan B lebih dijangka sengit Sabtu ini apabila Selangor MAC dan JDT yang kini mengumpul jumlah mata yang sama, tetapi hanya dibezakan dengan tiga perbezaan gol akan bertembung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Persaingan Kumpulan A pula menyaksikan Pahang Rangers mengumpul 22 mata mendahului Pulau Pinang dengan kelebihan tiga mata.

Sumber : Facebook Arena Futsal
Hujung minggu ini aksi MPFL diteruskan pada Sabtu dengan persaingan cukup menarik menyaksikan tiga perlawanan akan berlangsung iaitu JDT melayan kunjungan Selangor MAC di Stadium Pasir Gudang, Pulau Pinang menentang Terengganu di Kompleks Sukan Balik Pulau dan PFA Odin Sarawak bertemu KL City FC di Stadium Perpaduan Kuching.
Manakala pada Ahad pula, Sabah lawan Kedah (Gelanggang Futsal Yayasan Sabah) dan Pahang Rangers FC bertemu ATM (Stadium Tertutp Sukpa, Kuantan) dan pada Isnin Selangor TOT United bertemu Shah Alam City di KSN Panasonic Shah Alam.