KETUA jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel menegaskan pasukannya tetap bersemangat dan bersedia memberikan tentangan terbaik apabila berdepan Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada 8:15 malam esok.
Menurut Gamel, meskipun jadual padat memberi cabaran besar kepada pasukannya, semangat juang dan karakter pemain menjadi kekuatan utama skuad Merah Kuning untuk terus bersaing di peringkat Asia.
“Persiapan kami berjalan dengan baik walaupun masa agak singkat selepas perlawanan terakhir. Kami bermain hampir setiap dua atau tiga hari, jadi ia bukan sesuatu yang mudah. Tapi pemain berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik,” kata Gamel pada sidang media pra-perlawanan hari ini.
Tambahnya lagi, beliau menaruh kepercayaan penuh kepada skuad bimbingannya untuk tampil lebih baik selepas dua aksi pembukaan yang tidak memihak kepada mereka.

“Saya percayakan pasukan ini. Mereka ada karakter dan semangat juang tinggi. Kami tiada apa untuk hilang, jadi kami akan turun bermain dengan penuh keyakinan dan belajar dari setiap perlawanan,” ujarnya.
Sementara itu, pemain tengah import Selangor, Noor Al-Rawabdeh, turut menzahirkan keyakinan bahawa pasukannya mampu menunjukkan kebangkitan apabila turun menentang wakil Indonesia itu.
“Kami sangat teruja untuk perlawanan ini. Saya tahu kami tidak bermula dengan baik dalam kejohanan ini, tapi masih ada empat perlawanan untuk kami perbaiki keadaan. Kami akan terus berjuang hingga ke penghujung,” katanya.

Rawabdeh turut menegaskan bahawa keyakinan terhadap jurulatih dan rakan sepasukan menjadi kunci utama semangat mereka untuk bangkit. “Kami percaya pada diri sendiri dan juga staf kejurulatihan. Saya yakin kami akan berada dalam prestasi terbaik esok,” jelasnya.
Selangor kini berada di tangga tercorot kumpulan selepas dua perlawanan, namun kemenangan menentang Persib mampu menghidupkan kembali peluang mereka untuk mara ke peringkat seterusnya. Perlawanan di Bandung dijangka berlangsung dalam suasana hangat dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.
Sumber GAMBAR: SFC