BEREGU campuran utama negara,Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya bangkit dari aksi “lesu” ketika melepasi cabaran pusingan pertama Terbuka Perancis sebentar tadi.

Berdepan lawan bukan pilihan dari Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang, pasangan negara yang menghuni ranking ketiga dunia membuka gelanggang dengan mendahului 5-1 di set pertama, namun pergerakan yang agak perlahan membolehkan Po Hsuan-Ling Fang merampas set pertama dengan mata 21-16.

Sedar tidak boleh membiarkan lawan selesa, Tang Jie-Ee Wei bangkit memenangi dua set berikutnya, 21-16, 21-12 dan mengakhiri cabaran lawan dalam tempoh 47 minit.

“Kami bermula agak perlahan sehingga lawan mempunyai banyak ruang untuk untuk serangan balas pantas… mungkin disebabkan kami kurang sabar,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mereka menanti pemenang perlawanan antara Ruben Garcia-Lucia Rodriguez (Sepanyol) atau Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan (Taiwan) di pusingan kedua, pada Khamis.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien kandas di pusingan pertama selepas tewas kepada lawan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 17-21, 17-21.