SETIAP pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC musim ini akan mendapat peluang minit permainan beraksi di bawah bimbingan jurulatih Nafuzi Zain.
Ujar pengendali itu, mana-mana pemain harus bersedia untuk diturunkan termasuk bermain dalam intensiti tinggi pada perlawanan Liga Malaysia.
“Dah 10 hari kita baru bersama dan menjalani latihan. Secara keseluruhan saya berpuas hati aksi dipamerkan pemain Kedah. Pemain cuba bagi yang terbaik aksi semalam tapi mungkin banyak faktor yang harus diperhatikan.
“Bermain di Stadium Darul Aman, pemain sedikit gugup dan gementar kerana kehadiran penyokong yang ramai. Saya memahami suasana apabila bermain di sini,” katanya dalam sidang media kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan pramusim bertemu TRW Kelantan FC di Alor Setar.
Dalam pertemuan itu, Kedah menang 2-0 hasil sentuhan jaringan awang import dari Brazil, Willian Lira Souza di babak kedua.
ARTIKEL BERKAITAN : Willian Souza ledak dua gol bantu KDA FC tewaskan Kelantan
Jelas Nafuzi, peranan sebagai penyerang ditunjukkan Willian begitu baik apabila telah menjaringkan gol dalam dua aksi persahabatan sepanjang bulan ini.
“Tugas penyerang ini untuk menjaringkan gol dan malam ini dia (Willian) dapat skor gol. Pada saya satu benda positif (kemajuan pasukan),” katanya yang berterima kasih kepada pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang memberikan persiapan terbaik untuk dirinya dan pasukan.