PERSEMBAHAN konsisten Dion Cools bersama Cerezo Osaka bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah turut membuatkan kelab J1 League itu memberi bayangan jelas bahawa kapten Harimau Malaya berkenaan mempunyai masa depan cerah di Jepun.
Isyarat itu dizahirkan Cerezo Osaka apabila berkongsi statistik pemain pertahanan kelahiran Belgium itu di platform rasmi mereka, sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi terhadap impak yang dibawa Cools sejak menyertai kelab berkenaan pada Jun lalu. Dalam tempoh singkat bersama pasukan, Cools merekodkan 14 penampilan dengan sumbangan dua gol serta satu bantuan gol, satu angka yang signifikan bagi seorang pemain pertahanan.
“Musim pertama pemain pertahanan Malaysia, Dion Cools bersama Cerezo Osaka. Dua gol dan satu bantuan gol, itu yang dilakar beliau pada musim lalu. Lebih banyak lagi pada musim-musim mendatang,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Walaupun hanya menyertai pasukan pada pertengahan musim, Cools pantas menyesuaikan diri dengan tempo dan intensiti J1 League, sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing di salah satu liga terbaik Asia.
Aksi konsisten itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama Cerezo, malah memberi kesan positif terhadap prestasinya bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Perkembangan itu pastinya melegakan kem skuad kebangsaan apabila sentuhan Cools dijangka terus menjadi aset penting buat ketua jurulatih, Peter Cklamovski, khususnya menjelang misi penting menentang Vietnam pada Mac 2026. Dengan keyakinan tinggi daripada kelab Jepun itu, Dion Cools kini dilihat berada di landasan terbaik untuk terus mengukir nama sebagai antara tonggak utama bola sepak Malaysia di peringkat Asia.