PEMAIN warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero melaungkan kesediaan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan menjelang aksi penentuan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam bulan depan.
Palmero yang kini kembali menemui rentak bersama Kuching City selepas melalui tempoh penggantungan sebelum ini menegaskan beliau sentiasa bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan skuad negara.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah bekerja keras bersama kelab bagi memastikan tahap kecergasan dan prestasinya berada pada tahap terbaik menjelang aksi penting itu.
“Sudah tentu (bersedia hadapi Vietnam). Saya sentiasa terus berusaha dan bekerja keras, sudah tentu saya bersedia,” katanya ketika ditemui media selepas aksi Liga Super menentang Selangor.
Pemain berusia 23 tahun itu turut menepis sebarang spekulasi mengenai hubungannya dengan barisan pemain serta jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski, dengan menegaskan komunikasi antara mereka sentiasa terjalin dengan baik.
“Ya, saya sentiasa berkomunikasi dengan mereka. Saya ada berbual dengan Safawi dan Noaa, mereka kawan yang sangat baik.
“Saya ada bercakap dengannya (Peter Cklamovski) beberapa minggu lalu dan hubungan kami memang sangat rapat. Beliau seorang individu yang sangat baik serta profesional yang bagus dan saya sentiasa mengekalkan hubungan rapat bersamanya,” jelasnya.
Bagaimanapun, status sebenar sama ada Palmero boleh diturunkan atau tidak masih bergantung kepada keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dijadualkan pada 26 Februari ini.
Malaysia ketika ini mendahului Kumpulan F dan bakal berdepan Vietnam di laman lawan dalam aksi terakhir yang dijangka menjadi penentu tiket ke Piala Asia 2027.