MALAYSIA kembali menjadi tumpuan dunia permotoran apabila Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah Petronas Grand Prix of Malaysia 2025, pusingan ke-20 MotoGP musim ini yang berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober, menandakan penamat siri perlumbaan luar Eropah sebelum saingan kembali ke benua itu untuk dua pusingan terakhir.

Lima pemenang berbeza dalam lima perlumbaan terakhir menjadikan saingan kali ini sukar dijangka, dengan tumpuan tertumpu kepada pelumba utama seperti Francesco Bagnaia, Pedro Acosta, Marco Bezzecchi dan Raul Fernández, sementara Bagnaia mengakui cabaran musim ini semakin getir dan menyasarkan kedudukan keempat atau kelima menjelang penutup musim.

Masa depan Pedro Acosta menjadi perhatian apabila kontraknya tamat musim depan, dengan pelumba muda itu dikaitkan dengan pasukan lain menjelang perubahan peraturan 2027, manakala Bezzecchi dan Fernández turut mencuri tumpuan dalam sidang media pra-acara dengan keyakinan menamatkan musim di podium.

Turut menjadi perhatian, Khairul Hakim Danish, pelumba muda negara yang bakal membuat penampilan sulung di pentas dunia dengan menyertai saingan Moto3 di Grand Prix Malaysia 2025 sebagai pelumba wildcard. Beliau akan beraksi bersama pasukan AEON Credit SIC Racing MSI. 

Dengan cuaca tropika yang panas dan tidak menentu, Litar Sepang menjanjikan aksi mendebarkan dengan cabaran selekoh perlahan dan lurus panjang yang menuntut ketahanan fizikal serta strategi tayar bijak, menjadikan sesi latihan bebas penting untuk pelarasan jentera mengikut keadaan trek.

Acara hujung minggu ini bermula dengan sesi latihan Jumaat, diikuti kelayakan Sabtu dan perlumbaan utama MotoGP Ahad jam 3 petang, manakala Moto2 dan Moto3 berlangsung pada 1.15 dan 12.00 tengah hari dengan Sprint Race Sabtu petang menambah lagi aksi dramatik buat peminat di litar.

Malaysia kembali menjadi tumpuan dunia permotoran apabila Litar Antarabangsa Sepang bersiap sedia menganjurkan Petronas Grand Prix of Malaysia 2025, perlumbaan terakhir siri “fly-away” musim ini yang dijangka menarik ribuan peminat serata dunia serta menjanjikan pertarungan sengit di bawah panas terik tropika.

Kredit : MotoGP