BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengekalkan rekod bersih 100 peratus kemenangan ke atas gandingan kebal England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan kedua Terbuka Perancis awal pagi tadi, ketika beberapa rakan senegara bergelut mencari jalan kemenangan.
Pasangan ranking kelima dunia itu mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 13-21, 21-19, 21-14 dalam tempoh 58 minit sekali gus menempah tiket ke suku akhir.
Wei Chong mengakui perancangan awal tidak menjadi, namun perubahan corak permainan dan komunikasi lebih tenang menjadi kunci kejayaan mereka mengekang kekuatan Ben-Sean.
“Saya ubah taktikal, main perlahan sedikit dan beri keyakinan pada Kai Wun. Saya kata padanya relax saja, jangan fikir tentang kecederaan saya, teruskan fokus,” kata Wei Chong yang baru pulih dari kecederaan.
Kai Wun pula mendedahkan mereka sudah bersedia untuk permainan panjang dan tidak mudah panik meskipun lawan memiliki pertahanan ampuh.
“Pertahanan mereka memang susah ditembusi, jadi kami banyak gunakan rally dan serangan berterusan untuk tekan mereka,” ujarnya yang kini semakin yakin menjelang aksi suku akhir.
Sepanjang tahun ini, Ben-Sean mempamerkan prestasi memberangsangkan dan sering menjadi penghalang kepada pemain negara.
Di seluruh England Mac lalu, mereka menyingkir pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (pusingan pertama Terbuka Hong Kong dan final Terbuka Arctic) serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (pusongan pertama Terbuka Denmark, namun tunduk dua kali kepada Wei Chong-Kai Wun di pusingan ketiga Kejohanan Dunia dan pusingan kedua Terbuka Perancis.