SUDAH lali dengan terlepas sambutan Hari Raya, pelumba basikal trek negara Shah Firdaus Sahrom tiada masalah untuk memberi tumpuan kepada misinya dalam Piala Negara Trek UCI di Milton, Kanada.

Pelumba berusia 27 tahun itu berkongsi pengalaman kali kelapan berjauhan dari keluarga di Muar ketika meraikan Hari Raya memandangkan dia sentiasa mempunyai tugasan di luar negara.

Mengakui kerinduan keluarga tetap dirasai, namun rakan sepasukanlah yang dianggapnya sebagai keluarga menawarkan ketenangan pada musim perayaan.

“Tahun ini merupakan tahun kelapan saya berada di luar negara semasa Hari Raya malah saya menyambut Hari Raya sendiri di Australia semasa pandemik Covid-19.

“Selalu seronok menyambut Raya bersama keluarga tetapi mempunyai rakan sepasukan yang seperti keluarga saya juga…meredakan rasa rindu saya semasa sambutan perayaan,” katanya Shah Firdaus.

Selepas bertahun-tahun ditimpa musibah, akhirnya Shah Firdaus mampu mengukir senyuman apabila ketabahannya membuahkan hasil dengan pingat perak keirin di Piala Negara-Negara UCI di Kaherah pada Mac dan Kejohanan Trek Antarabangsa Belgium minggu lalu.

Malah ketika ini, Shah Firdaus mendahului kedudukan Piala Negara Trek UCI selepas mengumpul 1,240 mata selepas dua kejohanan di Jakarta dan Kaherah.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempamerkan prestasi yang baik di awal musim ini.

Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek negara John Beasely berkata Shah Firdaus melangkau acara keirin untuk menumpukan perhatian kepada acara pecut di Milton bagi meningkatkan kedudukan pecut Piala Negara Trek UCI di mana dia kini berada di tangga ke-33 dengan 96 mata.

Namun tidak mudah buatnya untuk mencapai kejayaan baik dalam acara pecut kerana dibarisi pelumba hebat dan tidak berjaya ke final beberapa hari lalu.

Dia menambah bahawa keputusan positifnya pada suku pertama tahun ini telah menjadi petunjuk prestasi yang baik buatnya yang akan mengharungi saingan pecut lebih panjang selepas ini.

“Saya bersyukur dengan rezeki saya tahun ini… saya akan katakan kerja keras dan ketabahan membuahkan hasil… Saya juga mempunyai sistem sokongan yang hebat untuk mendorong saya mencapai keputusan yang baik,” kata Shah Firdaus.

“Tiada apa-apa yang berbaloi datang dengan mudah… Kerja tidak menjadi lebih mudah, tetapi saya boleh fokus pada satu acara sahaja. Saya tidak boleh memandang rendah pihak lawan, apa-apa boleh berlaku semasa perlumbaan,” katanya lagi.