PEMAIN pertahanan, Shahrul Saad telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas dia tidak dapat menyertai pasukan ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi 48th King’s Cup 2022 bermula 22 hingga 25 September ini.

Shahrul telah melaporkan diri bersama pemain-pemain lain pada Jumaat tetapi pemantauan oleh doktor dan fisioterapis pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati dia tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya dia dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” jelas ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sementara seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu

Skuad Harimau Malaya mula menjalani latihan persiapan ke Thailand bermula Jumaat.