PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) , Datuk Hamidin Mohd Amin mahu momentum kejayaan pada Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu dapat diteruskan para pemain skuad Harimau Malaya bermula dengan kejohanan jemputan antarabangsa, 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand, 22 hingga 25 September ini.

Selepas tiga bulan, skuad Harimau Malaya kembali berkumpul bagi kem latihan pusat bermula pada Jumaat, Hamidin turut meninjau sesi latihan pertama di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada sebelah petang, disusuli sesi pertemuan dan makan malam bersama para pemain.

Hamidin menggesa para pemain supaya fokus sepanjang sesi latihan yang dikendalikan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan memberikan sepenuh komitmen sepanjang kem latihan pusat kali ini kerana 25 pemain yang dipanggil ini akan dinilai prestasi mereka menjelang dua misi lebih besar selepas ini.

 

Ketika sesi makan malam bersama para pemain, Hamidin menggunakan ruang tersebut untuk mengenali lebih rapat para pemain baharu yang dipanggil kem kem latihan pusat kali ini terutama pemain-pemain muda.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Chiang Mai, Isnin ini bagi menghadapi tuan rumah, Thailand pada perlawanan pertama pada Khamis, 22 September sebelum berdepan sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan pada Ahad, 25 September 2022.

Selepas 48th King’s Cup 2022, skuad Harimau Malaya akan menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember ini dengan Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura menjadi lawan dalam saingan Kumpulan B, sebelum beraksi pula pada pentas akhir Piala Asia 2023, tahun hadapan.