ATLET wushu negara menerima durian runtuh hampir setengah juta ringgit selepas kejayaan gemilang di Kejohanan Wushu Dunia di Brasilia, Brazil.

Dalam kenyataan media Majlis Sukan Negara (MSN) yang diedarkan, enam atlet terbabit meraih keseluruhan lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa sekali gus membawa pulang insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM480,000.

Si Shin Peng muncul penerima tertinggi apabila mengaut RM166,666.66 hasil kemenangan pingat emas individu dalam acara Qiangshu dan Jianshu selain gangsa berpasukan Duilian.

Turut cemerlang, Tan Cheong Min yang menggondol dua emas (1 individu, 1 berpasukan) dan satu perak menerima insentif keseluruhan RM146,666.66.

Lee Jia Rong pula meraih RM126,666.66 selepas menyumbang emas Daoshu, emas berpasukan Duilian dan gangsa acara Gunshu.

Sementara itu, Pang Pui Yee membawa pulang RM26,666.66, manakala Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei masing-masing menerima RM6,666.66 hasil gangsa berpasukan Duilian.

Tidak ketinggalan berita gembira buat pasangan badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menerima RM40,000 seorang selepas muncul juara dunia beregu campuran.

Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama muncul naib juara dunia turut menerima insentif RM20,000 seorang.