PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar teruja dengan panggilan ke skuad kebangsaan kali ini, sekaligus merupakan kaps keduanya bersama skuad kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon

Kali terakhir, pemain kelahiran Gombak ini dipanggil pasukan kebangsaan adalah pada saingan Piala Raja-Raja Thai di Chiang Mai, September lalu.

Biarpun dipanggil dalam senarai 29 pemain untuk kem latihan skuad kebangsaan, namun dia merasakan dia tidak mahu terlalu yakin kerana menyifatkan masih banyak yang perlu dipelajari.

Sharul Nazeem atau digelar ‘Afro’ mengakui sangat berkobar-kobar untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain ke pasukan senior kebangsaan untuk ke Piala AFF serta merasakan ia amat penting baginya untuk terus menimba pengalaman dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Dengan panggilan kali ini, ia merupakan kali kedua saya dapat bersama skuad kebangsaan. Saya harap saya terpilih untuk 23 pemain ke Piala AFF nanti.

“Saya masih belum berpuas hati kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari. Banyak lagi kekurangan saya dalam padang, jadi saya tidak boleh ambil mudah.

“Saya tidak boleh cakap yang saya sudah bagus. Saya pun orang biasa. Saya tidak mahu terlalu yakin. Saya perlu banyak lagi belajar dalam bidang bola sepak.

“Saya perlukan lebih banyak pengalaman bersama pasukan kebangsaan. Saya memang inginkan berada dalam 23 pemain skuad kebangsaan,” ujarnya ketika dihubungi Flash Sukan.

ARTIKEL BERKAITAN : Sharul Nazeem bongkar punca menangis teresak-esak ketika lawan Terengganu! 

Nazeem sambut hari lahir dengan jaringkan gol

Dalam pada itu, dia menjangkakan panggilan kedua di bawah Kim Pan-gon kali ini masih belum dimuktamadkan.

Ia ekoran hanya 23 pemain yang akan disenaraipendek ke saingan Piala AFF pada Disember ini serta mengakui cabaran getir bakal dihadapinya apabila terpaksa bersaing dengan beberapa pemain senior lain.

Namun, Sharul tetap fokus untuk memberikan segala-galanya ketika sesi latihan agar berjaya mewakili senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF kelak.

“Bukan senang untuk saya bersaing dengan senior saya di latihan seperti Dion Cools, Dominic, Khuzaimi Piee untuk saya teruskan bersaing.

“Saya rasa sangat gembira kerana terpilih dalam senarai 29 pemain. Saya akan buat yang terbaik untuk mendapatkan tempat dan bermain untuk pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Menyingkap tentang aksi Piala Malaysia bersama Selangor FC menentang JDT Sabtu ini, Sharul Nazeem mengakui Bergson merupakan seorang pemain yang sukar dikekang.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu menegaskan pasukan perlu memberi tumpuan sepenuhnya dalam aksi menentang JDT Sabtu ini.

“Bergson bukan senang untuk kita jaga, tetapi seperti apa yang saya cakapkan tadi, kita harus fokus dalam 90 minit dan melakukan yang terbaik di padang. Seandainya ia adalah rezeki kami InshaAllah kami akan menang,” kongsinya.

Andai Selangor FC berjaya merangkul Piala Malaysia, anak jati Merah Kuning itu berazam menghadiahkan kejuaraan tersebut kepada keluarganya yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam kariernya bergelar pemain bola sepak.

“Semestinya untuk keluarga saya. Bukan senang untuk saya dapat peluang ini. Pengalaman ini adalah sesuatu yang berharga. Mungkin sekali dalam seumur hidup saya, saya akan buat yang terbaik untuk final ini dan saya hadiahkannya untuk keluarga saya, itu yang paling penting,” katanya.