SHEREEN Samson Vallabouy menamatkan penantian 17 tahun pingat olahraga wanita di Sukan Asia, apabila memenangi pingat gangsa dalam acara 400 meter (m) di Pusat Olimpik Hangzhou.
Pemilik rekod kebangsaan 400m wanita itu, menamatkan larian dengan catatan 52.58 sat (s), tewas kepada dua pelari Bahrain, Oluwakemi Mujidat dan Salwa Eid Naser yang meraih pingat emas dan perak, selepas masing-masing mencatat masa 50.66s dan 50.92s.
Bagaimanapun, catatan masa dilakukan Shereen itu jauh daripada rekod kebangsaan miliknya 51.80s, yang dilakukan di Kejohanan Mt SAC Relays, di Walnut, Amerika Syarikat (AS), April lalu.
“Memang saya nak dapatkan masa terbaik tapi tidak tercapai untuk menyamainya, saya tetap gembira dengan pingat gangsa ini,” kata Shereen, selepas menamatkan larian.
Kali terakhir atlet wanita negara memenangi pingat di Sukan Asia pada 2006 menerusi Noraseela Khalid (gangsa 400m berhalangan) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah) .
Menurutnya, pingat gangsa itu cukup bermakna selepas pelbagai ranjau ditempuhnya termasuk episod kecederaan.

Shereen Samson Vallabouy melengkapkan profil keluarganya, meraih pingat din Sukan Asia.
Katanya, ibu dan bapa (Josephine Mary dan Samson Vallabouy) tidak meletakkan sebarang tekanan dan hanya berpesan berikan yang terbaik.
“Gembira kerana dapat mengikut jejak mereka (ibu dan bapa) meraih pingat di temasya Sukan Asia dan membuatkan mereka gembira,” katanya.
Ibunya, Josephine meraih pingat meraih dua pingat gangsa di temasya Sukan Asia, iaitu dalam acara 800m di Temasya Seoul 1986 dan acara 400m di Temasya Beijing 1990.
Bapanya, Samson Vallabouy pula pernah memegang rekod Sukan Sea dalam acara 800m lelaki (1:48.29s) yang dilakukannya pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 1989.
Shereen mengakui dia bermula dengan baik di grid permulaan dan lega kerana dapat mengekalkan rentak larian ; “Saya cuba mengejar dua pelari Bahrain, tapi mereka sangat pantas.”
Selepas ini Shereen akan berehat selama enam minggu sebelum kembali ke AS untuk menjalani latihan dalam usaha memburu slot ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.