LIMA atlet daripada lima sukan berbeza disenarai pendek bagi merebut Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2025,  mencerminkan kecemerlangan prestasi sukan negara sepanjang tahun lalu.

Antara nama yang mencuri tumpuan ialah atlet wushu, Tan Cheong Min yang meraih tiga pingat emas di Kejuaraan Dunia di Brazil menerusi acara Nandao, Nangun individu serta Duilian berpasukan.

Beliau bagaimanapun bakal berdepan saingan sengit daripada beregu badminton negara, Chen Tang Jie – Toh Ee Wei yang muncul juara dunia di Perancis selepas menewaskan pasangan pilihan dari China.

Turut mengisi senarai pencalonan ialah Emma Firyana Saroji (boling padang) yang menjuarai Piala Dunia di Bukit Kiara, selain Muhd Rafiq Ismail yang menyumbang emas acara berpasukan lelaki di Piala Dunia IBF di Hong Kong dan seorang lagi calon ialah Mohd Abdul Latif Maxzakir dari sukan pencak silat, melengkapkan barisan lima atlet terbaik tahun ini.

Bagi kategori Atlet Para Terbaik 2025, tiga nama besar kembali menjadi tumpuan iaitu Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (para badminton) dan Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga).

Bonnie terus mengukuhkan statusnya sebagai jaguh dunia apabila meraih gelaran keempat berturut-turut, manakala Cheah cemerlang di Jepun dan Latif Romly mencipta rekod dunia baharu dengan lompatan sejauh 7.67 meter di Kejohanan Olahraga Para Dunia di New Delhi.

Anugerah SAM bakal berlangsung pada 13 Mei di ibu negara

Dua perenang para Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim turut memberi cabaran selepas aksi cemerlang di Sukan Para ASEAN Thailand dengan pemenang bagi kedua-dua kategori utama ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Majlis Anugerah SAM 2025 akan berlangsung pada 13 Mei di ibu negara dan dijangka dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Dr Mohammed Taufiq Johari sambil mengiktiraf atlet serta pengamal media sukan dalam pelbagai kategori.