PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao bertekad bangkit memperbaiki prestasi selepas mengakui aksi di Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark tidak mencapai tahap diharapkan.
Selaku perseorangan utama negara, beliau gagal menyumbang mata apabila tewas kepada Finland dan Jepun di peringkat kumpulan sebelum sekali lagi kecundang kepada China di suku akhir.
“Secara peribadi, saya rasa prestasi kali ini memang tidak mencukupi dan tak berapa baik,” katanya.
Jun Hao mengakui tekanan sebagai pemain utama memberi cabaran tersendiri, selain menerima pelbagai reaksi termasuk kritikan di media sosial yang dianggap sebagai motivasi untuk bangkit.
“Beban itu memang ada, tetapi pada masa sama prestasi sendiri juga kurang,” katanya.
Malaysia tersingkir di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China, dengan Jun Hao turut tewas kepada pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi dalam perlawanan pembukaan.
“Dengan apa yang berlaku memang orang akan komen apa yang mereka mahu, tetapi saya perlu terima juga untuk semangat bangkit,” katanya.