MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh akan meneliti permohonan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) untuk menukar venue pejabat sedia ada di Jalan Hang Tuah untuk ditukarkan kepada pejabat yang memiliki kapasti lebih besar.

Jelasnya, penukaran tersebut wajar dilakukan untuk tempoh jangka masa panjang memandangkan lokasi dan kapasiti pejabat tersebut sudah tidak lagi relevan pada masa hadapan.

Hannah juga tidak menolak kemungkinan KL Sports City dijadikan venue baharu pejabat Majlis Olimpik Malaysia pada masa hadapan supaya memudahkan segala urusan yang melibatkan sukan negara.

“Saya akan meneliti permohonan OCM dan lawatan ini akan melengkapkan pemahaman saya dan Kementerian Belia dan Sukan, keperluan untuk pemindahan ini.

“Saya juga bersetuju bahawa OCM sepatutnya berada di KL Sports City di Bukit Jalil. Kalau tidak stadium dekat situ, OCM pula di Kuala Lumpur.

“Beberapa minggu yang lepas, OCM telah membentangkan beberapa cadangan pemindahan ke pejabat yang lebih besar kerana mereka merasakan bahawa pejabat ini tidak berapa sesuai untuk masa hadapan.

“Jadi lawatan hari ini telah dirancang untuk saya melihat kekangan sedia ada di lokasi sini. Apabila saya melawat fasiliti di sini, memang saya tahu 30 tahun yang lepas, tempat ini telah beri fungsi yang baik kepada OCM tetapi untuk masa hadapan, saya juga bersetuju untuk lokasi ini sudah tidak berapa sesuai untuk peranan yang dimainkan oleh OCM.

“Jadi kita kena melihat bukan sahaja sekarang tetapi 10, 20, 30 tahun akan datang dan saya juga sehaluan dengan Tan Sri Norza (Zakaria),” jelasnya ketika menghadiri lawatan ke Pejabat Majlis Olimpik Malaysia di Jalan Hang Tuah pada Rabu.

Sebelum penukaran tempat dibuat, beliau menjelaskan beberapa perkara penting perlu dilihat terutama dari segi tanah dan model pembangunan sebelum dibentangkan dalam kabinet.

Dua kunci yang ditekankan dalam proses tersebut adalah infrastruktur perlu lebih teratur dan pentadbiran juga perlu melalui proses modenisasi agar sukan negara berkembang lebih maju.

“Kita kena lihat tanah, model pembangunan, dana yang akan terlibat dan semestinya kita perlukan kelulusan kabinet.

“Saya percaya sukan kita perlu melalui satu proses modenisasi. Kita kena mulakan proses itu dengan fasiliti infrastruktur terlebih dahulu.

“Selepas infrastruktur selesai, kita perlu proses modenisasi untuk pentadbiran badan-badan sukan. Kita harus sehaluan dengan OCM,” ujarnya.