SUSULAN pengumuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai kemungkinan teknologi video bantuan pengadil (VAR) akan digunakan pada Liga Malaysia 2023, perkara ini disambut baik oleh pengelola liga, Malaysia Football League (MFL).

Namun bagi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dia menyatakan masih banyak perkara dan senario perlu dikaji terutama berkaitan infrastruktur stadium, jaringan internet dan yang paling utama adalah ianya tidak membebankan kewangan pasukan yang bertanding.

MFL akan berbincang dengan FAM bagi mendapatkan keputusan bersama kerana pihak MFL tidak mahu ada pasukan yang tidak membayar gaji kerana terpaksa menanggung bayaran untuk teknologi VAR ini.

Pengadil memeriksa video bantuan pengadil (VAR)

“Pihak MFL bersetuju dengan cadangan ini tetapi kita perlu kaji dan lihat pada banyak perkara dan senario terutama infrastruktur di semua stadium bersedia ataupun tidak selain dari faktor kos kerana difahamkan ianya menelan belanja lebih dari RM5 juta semusim.

“Terdapat dua fasa yang perlu dikaji sama ada teknologi VAR ini akan dipasang di dalam stadium masing-masing atau dilakukan di pusat penyiaran. Buat masa sekarang kebanyakan stadium tiada bilik VAR kerana stadium itu bukan milik pasukan selain masalah jaringan internet yang perlu diselesaikan.

“Pada ketika pasukan sedang pulih dari tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19 dan penstrukturan semula liga, persoalan yang sepatutnya dijawab sekarang adalah mana yang lebih penting, gaji atau teknologi.

Stadium AFC Putrajaya

“Ini kerana MFL masih tidak pasti siapa yang akan menanggung kos penyelenggaraan teknologi VAR itu dan pihaknya tidak bersetuju jika ianya terpaksa dibayar oleh pasukan bertanding kerana apa yang lebih penting adalah pembayaran gaji pemain dapat dibuat.

Kos operasi teknologi VAR di pelbagai liga seluruh dunia terbahagi kepada tiga pilihan iaitu sama ada ditanggung oleh FA, pengelola liga ataupun ditanggung oleh pasukan yang bertanding itu sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: FAM teliti penggunaan VAR untuk Liga Malaysia 2023

Atas alasan ini, MFL mahu memastikan perincian kos ini dapat diperhalusi semua pihak yang terlibat bagi mengelakkan isu berbangkit pada masa akan datang terutama jika ianya menjelaskan kebajikan para pemain.

Stuart juga turut berkata bahawa penggunaan VAR ini sangat dituntut dalam bola sepak moden masa kini namun ianya bukanlah penyelesaian masalah pengadilan secara menyeluruh dan program memperkasakan pengadil perlu dilakukan kerana ketika ini standard pengadilan di Malaysia adalah pada kategori memuaskan.