PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini dalam proses perbincangan dan penelitian untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) untuk musim 2023.
Namun penggunaan teknologi yang semakin popular ini mungkin akan digunakan terlebih dahulu pada aksi Piala FA dan Piala Malaysia dengan kos masih menjadi keutamaan FAM dalam proses rundingan ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundram ketika sesi sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Keenam di Kelana Jaya.
Perkembangan VAR dalam Liga M 2023 FAM dalam proses perbincangan dan penelitian untuk gunakan pada Piala FA dan Piala Malaysia terlebih dahulu. maklumat lanjut dari semasa ke semasa.
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 7, 2022
Sivasundram turut mengesahkan pengadil kebangsaan akan dihantar untuk mengikuti kursus VAR serta ini peluang yang baik kepada pengadil di bawah kelolaan FAM untuk menjadi pengadil di Piala Dunia 2026.
“Perkembangan VAR untuk Liga Malaysia 2023 sedang dalam proses perbincangan dan penelitian untuk gunakan pada perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia terlebih dahulu.
“FAM sudah berjumpa dengan dua pembekal teknologi ini dan perbincangan ini masih di peringkat awal dengan kos masih menjadi keutamaan buat FAM sebelum mencapai kata putus.
Selain itu, FAM turut akan melihat kepada aspek sistem capaian internet dan kesediaan semua stadium termasuk kamera penyiaran dan akan berbincang bersama pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) berkaitan perkara ini.
“Pengadil-pengadil juga akan menjalani kursus VAR dan pihak kami kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan tenaga pengajar serta sudah mendapatkan sokongan daripada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC),” katanya.
Dalam sidang media yang sama juga, FAM telah mengumumkan harga tiket bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditetapkan pada harga RM30 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.