PENGGUNAAN sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) di Stadium Likas, Sabah dilihat sudah berada di tahap bersedia dan menghampiri aksi perlawanan bola sepak musim 2024.
Tambahan baru-baru ini, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah melakukan kunjungan dan pemeriksaan ke stadium keramat pasukan Sabah FC bagi memastikan kesemua stadium telah bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Pihak MFL membuat tinjauan dan pemeriksaan ke Stadium Likas pada Selasa.
Sabah FC dalam masa yang sama telah memuat naik beberapa foto ketika sesi tinjauan dilakukan dan selain memeriksa keadaan padang serta pencahayaan, penilaian tentang dasar pemasangan teknologi VAR turut dibuat.
Tidak dinafikan, penggunaan sistem VAR ini amat penting bagi membantu pengadil dalam melakukan sesuatu keputusan yang tepat selain meningkatkan mutu pengadilan dalam perlawanan itu.

Stadium Likas, stadium keramat pasukan The Rhinos.
Sebelum ini, FLASH SUKAN melaporkan bahawa seramai 21 pengadil, 20 pengadil bantuan dan sembilan pengadil ulang tayang telah selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf sendiri oleh pihak Fifa.
Teknologi VAR yang pertama kali digunakan di Malaysia adalah ketika perlawanan akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022 antara Kuala Lumpur City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb, di Stadium Nasional di Bukit Jalil dengan dikendalikan sepenuhnya oleh AFC.