SKUAD B23 Tahun Kebangsaan berlepas ke Tashkent, Uzbekistan hari ini dengan membawa harapan negara untuk beraksi cemerlang dalam Kejohanan Piala Asia B23.
Barisan kendalian Brad Maloney yang baharu pulang dari Sukan SEA 2021 di Vietnam kini berdepan cabaran lebih sukar di kejohanan yang menampilkan 16 pasukan terbaik Asia ini.
Maloney nyata tenang dan yakin dengan kemampuan anak buahnya dan menganggap pentas Sukan Sea sebagai medan terbaik buat persiapan pasukan sebelum ke Uzbekistan.
Dengan 23 pemain yang dibawa semuanya bebas dari kecederaan dan penggantungan, Malaysia dijangka mampu memberikan saingan tetapi tetap berhati-hati apabila turun menentang Korea Selatan pada aksi pembukaan nanti.
“Pasukan ini kini berada pada tahap terbaik dan semakin bertambah baik sejak Sukan SEA dan saya yakin mereka akan memberikan aksi terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya.
“Korea Selatan adalah pasukan yang hebat dan pastinya ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar namun para pemain sudah bersedia untuk memberikan cabaran kepada mereka.
“Semua pemain berpeluang untuk menjadi kesebelasan utama dan banyak persaingan berlaku dalam skuad ini. Mereka cukup kompetitif dan semuanya bersemangat membuktikan kemampuan mereka bermain untuk dipilih dalam kesebelasan utama,” ujarnya ketika ditemui media di KLIA pagi Ahad.
Skuad negara berlepas ke Tashkent pagi ini dengan pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia dan akan terus melakukan sesi latihan ringan sejurus tiba di ibu negara Uzbekistan itu.