BERPEGANG pada fakta dan realiti, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersikap realistik mengenai peluang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.

Malah beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, mendedahkan bola sepak tidak berada dalam senarai pasukan dijangka mendapat slot pada temasya terbesar dunia itu kerana perlu bersaing dengan kuasa besar peringkat Kelayakan Piala Asia B-23 di Qatar bulan depan.

Dalam meletakkan sasaran layak ke Olimpik Paris 2024,  Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sedar sukar untuk Harimau Muda layak.

Katanya, lebih baik skuad muda negara fokus untuk melayakkan ke pusingan kedua sebelum memikirkan langkah seterusnya hingga ke saingan suku akhir.

“Berdasarkan kiraan saya sebagai Presiden FAM, pasukan bola sepak tiada dalam sasaran layak ke Olimpik Paris 2024. Kalau layak bawah 23 (B-23) dah dikira satu pencapaian yang baik.

“Apa yang penting ketika ini, saya mengharapkan mereka memberi fokus untuk mencatat keputusan terbaik dan layak ke pusingan kedua terlebih dahulu,” katanya, kepada media selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Wisma MOM, di ibu negara.

Pemain skuad B-23 tidak disandarkan layak ke Olimpik.

Hamidin menjelaskan sekiranya skuad Harimau Muda negara meraih slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 ia ibarat seperti layak ke Piala Dunia, bagi pasukan senior.

Katanya, mengikut perkiraan realistik, peluang layak ke Olimpik agak sukar kerana saingan di Doha cukup sengit dan beliau mengandaikan tiga slot ke Olimpik milik tiga kuasa besar Asia, Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi.

“Sembilan ke 10 pemain mereka bermain di Piala Dunia. Satu dari empat pasukan separuh akhir pula akan bersaing dengan wakil Afrika,” katanya.

Melihat penyertaan skuad muda negara ke Qatar bukan sekadar penyertaan, beliau berkata, FAM sudah mengatur empat aksi persahabatan buat mereka di Kuala Lumpur dan Doha.

“Sebelum berlepas ke Doha mereka akan menentang India. Skuad akan tiba dua minggu awal di Doha. Di sana pasukan akan berdepan aksi persahabatan dengan Qatar dan China serta satu lagi pasukan yang tiba awal di Doha,” katanya.