SKUAD bola jaring kebangsaan berlepas ke Perth, Australia pada Isnin bagi menjalani kem latihan dan perlawanan pendedahan bermula 2 hingga 9 Ogos ini.
Seramai 14 pemain telah dipanggil menyertai kem di Australia ini selepas fasa latihan ketiga diadakan bulan lalu yang memfokuskan kepada latihan taktikal dibawah seliaan Ketua Jurulatih, Lisa Ann Beehaq.
Kem latihan dan perlawanan pendedahan ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 3-11 September nanti.
Kejohanan yang akan diadakan di OCBC Arena ini kembali berlangsung selepas empat tahun tidak diadakan dengan 11 pasukan terbaik dari Asia akan mengambil bahagian dalam kejohanan terbesar di Asia ini.
Skuad negara mensasarkan untuk layak ke final apabila dua pasukan terbaik kejohanan ini akan layak ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Cape Town, Afrika Selatan pada 28 Julai hingga 6 Ogos tahun hadapan.
Malaysia pastinya mahu mengulangi pencapaian 2016 apabila muncul juara manakala pada edisi 2018 yang juga dilangsungkan di Singapura, Malaysia mendapat tempat ketiga selepas menewaskan Hong Kong 52-46 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.