KETUA Jurulatih Pasukan Remaja Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim menegaskan pasukannya kini berada dalam kedudukan yang cukup baik dan bersedia bertemu, Kemboja sebagai aksi pembuka tirai kempen Sukan SEA 2023.

Skuad negara bakal memulakan saingan Sukan SEA bermula 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Nasional Morodok Techo.

“Kami barisan kejurulatihan sentiasa mengingatkan pemain untuk tidak memandang rendah akan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pasukan yang bertanding dan setiap kali turun beraksi, pemain perlu turun dengan satu pemikiran yang betul selain memiliki mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan.

“Harapan dan sasaran yang diletakkan oleh pasukan tentunya untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia. Namun untuk pasukan, kami datang ke Sukan SEA dengan strategi ‘serampang dua mata’ di mana kami juga akan menggunakan temasya ini sebagai salah satu persiapan untuk pasukan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia (Lelaki) di Salalah, Oman yang akan bermula 23 Mei nanti,” kata Mohd Amin dalam satu satu kenyataan di laman web rasmi MHC.


Mohd Amin yang juga pertama kali menggalas tanggungjawab selaku Ketua Jurulatih bagi acara hoki padang meletakkan harapan kepada pemain untuk beraksi dengan cemerlang sepanjang termasya berlangsung sekaligus menjadikannya sebagai persiapan terakhir menuju ke Kejohanan Piala Remaja Asia kelak.

Dalam pada itu, empat pemain senior yang diturunkan bersama pasukan lelaki ialah Mohd Zaimi Mat Deris sebagai penjaga gol, Muhammad Amirul Hamizan Azahar sebagai pertahanan, Muhammad Najib Abu Hassan sebagai tengah, dan Muhamad Ramadan Rosli sebagai penyerang.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim pula menekankan bahawa pasukan tidak mahu menoleh pada reputasi Malaysia pada temasya sukan yang lalu untuk berada di tahap selesa sebaliknya sentiasa menghormati setiap pasukan lawan yang akan ditentang mereka nanti.

“Kriteria pemilihan pemain untuk ke Temasya Sukan SEA adalah lebih kepada kebolehan pemain mengadaptasi dengan permainan pantas, membuat keputusan baik, memiliki teknik baik dan berpikiran positif.


“Barisan kejurulatihan, pegawai dan para pemain memiliki hasrat juga motivasi yang tinggi dalam memburu pingat emas di Kemboja. Untuk memastikan pasukan tidak mendapat tekanan yang tidak sepatutnya, kami tidak mahu memikirkan reputasi lama pasukan Malaysia atau status yang diletakkan iaitu sebagai pasukan pilihan.

“Fokus kami akan diberikan sepenuhnya kepada perlawanan dan turun dengan memburu kemenangan, walau bagaimanapun, kami tetap menghormati pasukan lawan dan tidak sesekali memandang rendah akan kredibiliti yang mereka miliki,” ujar Nasihin.

Tambahnya lagi, pengalaman berbeza yang diperolehi oleh setiap pemain pastinya akan membantu meningkatkan lagi keyakinan mereka dan bersedia untuk Sukan SEA kali ini termasuklah penampilan pertama pemain muda berusia 19 tahun, Azmyra.

Acara hoki padang kembali disenaraikan selepas kali terakhir pada Temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia menjadi juara bagi kategori lelaki dan wanita.