SKUAD hoki lelaki yang dibarisi pemain remaja bimbingan Muhammad Amin Rahim, berjaya mempertahan maruah pemain senior apabila memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA Kemboja.

Barisan pemain yang ditegur keras gara-gara melepaskan dua gol mudah pada aksi terakhir liga sepusingan menentang Indonesia kelmarin, menebus kesilapan mereka dengan mengatasi Singapura 3-0 pada final.

Dua gol daripada Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-16 dan m-38, serta Alfarico Lance Liau Jr, m-48, cukup untuk mereka mempertahankan pingat dimenangi pada edisi 2017, selepas dua edisi Sukan Sea lalu tidak dipertandingkan.

“Kita dapat apa yang kita sasarkan emas sebelum datang ke sini lagi, kita rehat semalam dan berjaya terjemahkan apa yang di rancang.

“Kita memang tunjukkan 100 peratus usaha untuk menang pingat emas hari ini.

“Selepas ditegur jurulatih kelmarin, ia adalah wake up call buat kami, junior mempersiapkan diri ke Piala Remaja Asia… kejohanan ini banyak membantu kita untuk tahu bagaimana bermain di tahap antarabangsa, bagaimana tekanannya dan saya nampak pasukan ini boleh pergi lebih jauh,” kata Amirul.

Pengalamannya berada dalam skuad senior di Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Dunia mematangkan dirinya untuk memimpin rakan di Phnom Penh.

“Saya gunakan ilmu yang diterapkan jurulatih Arul (A Arulselvaraj) dan jurulatih Amin (Rahim) dalam senior team, kepimpinan, komunikasi, saya juga dibantu Zaimi (Mohd Zaimi Mat Deris), Ramadan (Rosli) dan Najib (Muhammad Najib Abu Hassan) jadi bila ada komunikasi baik, permainan kami sangat mudah.”

Sementara itu, Amin berkata, pemainnya mengikut perancangan yang ditetapkan dan merealisasikan pingat emas yang ditetapkan.

“Secara keseluruhan, persembahan pemain di sini ada naik dan turun kerana kita sedar ini adalah pemain remaja namun mereka sudah buktikan mereka layak berada di sini dengan membawa pulang pingat emas,” kata Amin.