HOKI wanita sumbang emas terakhir buat kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-32, di Phnom Penh.
Beraksi di Stadium Hoki Morodok Techo, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim beraksi tenang biarpun ketinggalan satu gol ketika berdepan Thailand.
Beraksi di bawah panas terik, pemain negara dikejutkan dengan jaringan Natthakarn Aunjai pada minit keempat, menerusi jaringan padang.
Namun pasukan yang hanya dibarisi empat pemain senior dan selebihnya kali pertama beraksi di Sukan SEA kekal tenang, dan berdisiplin mengikut percaturan yang ditetapkan Nasihin.
“Saya gembira kerana pemain kekal tenang dan mengekalkan tempo dan akhirnya kita Berjaya menyamakan kedudukan dan keluar sebagai pemenang,” kata Nasihin.
Gol penyamaan dijaringkan Siti Nur Arfah Mohd Noor pada minit keenam, apabila dia menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum pemain berpengalaman, Nuraini Abdul Rashid meletakkan pasukan di hadapan, pada minit ke-18, menerusi jaringan penalti strok.
Melengkapkan kemenangan, dua lagi jaringan disumbangkan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-29 dan 41.
“Saya simpulkan skuad ini membawa satu kejayaan yang baik kerana kami tidak pernah bermain di bawah cuaca panas dan mencabar seperti ini, keadaan baru yang tidak sesuai dengan strategi pasukan.
“Malah banyak penambahbaikan dalam pasukan akan dilakukan di Malaysia bagi memperkuat pasukan menjelang kejohanan akan datang.
“Adanya barisan pemain muda dalam pasukan ini, kami akan terus membuka ruang mencari pemain terbaik untuk mewakili pasukan wanita kebangsaan.”
Kapten pasukan, Juliani Muhamad Din berkata, menyumbang emas terakhir buat kontinjen negara suatu yang amat dibanggakan.
“Saya syukur kami tidak menggelabah selepas ketinggalan dan akhirnya memenangi pingat emas. Jadi kami harap pingat emas ini menjadi azimat kepada semua atlet lain untuk tidak berputus asa dan kita tingkatkan usaha untuk berjuang di masa akan datang,” kata Juliani.