PEMAIN remaja negara, Andrik Lim Kai Shan menepati ramalan sebagai pilihan utama kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur apabila mara ke final lelaki Bawah 19 Tahun (B-19).

Pemain terbabit mengatasi rakan sepasukan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Hi Jia Rong 11-8, 11-5, 11-6.

“Prestasi hari ini baik tapi bukan yang terbaik saya pamerkan. Perlukan peningkatan untuk mendapatkan kejuaraan di final esok,” kata Andrik selepas tamat perlawanan separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Pada final esok, Andrik akan berdepan rakan sepasukan dari SSBJ Harith Danial Jefri, yang mengejutkan pilihan ketiga/empat Low Wa-Sern juga dari SSBJ, 11-9, 11-5, 11-5.

“Saya perlu sedia mental dan fizikal untuk esok kerana pasti akan bermain sehingga lima set,” katanya yang bakal menamatkan aksi di peringkat remaja, tahun ini.

Sementara itu, dalam acara B-19 wanita, pemain negara dari SSBJ Whitney Isabelle Wilson, mengejutkan pilihan utama Wai Sze Wing dari Hong Kong dalam aksi lima set.

Meskipun tewas set pertama 9-11, Whitney yang berazam mahu mencipta nama di laman sendiri mencapai kemenangan 11-7, 11-8, 6-11, 11-3 dalam empat set berikutnya.

Kemenangan itu membawa kepada pertemuan dengan pilihan kedua juga dari Hong Kong, Toby Tse Yee Lam.

Terdahulu, Toby menewaskan seorang lagi wakil negara di separuh akhir, Goh Zhi Xuan 11-8, 11-13, 12-10, 11-6.