TAHAP kerjasama dan persefahaman beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencapai kematangan di Temasya Olimpik Paris lalu, selepas gandingan itu mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi sebelum ini.

Melihatkan proses dilalui itu, Wooi Yik yakin banyak lagi pencapaian mampu dia dan Aaron capai, sebelum mahu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles, pada 2028.

Menurut Wooi Yik, kematangan dalam gandingannya itu mungkin dibantu faktor usia yang meningkat dan tempoh bersama yang lebih panjang sejak digandingkan pada 2017.

Soh Wooi Yik yakin, dia dan Aaron mampu kecapi lebih banyak kejayaan.

“Saya rasa hubungan semakin baik dan matang. Saya fikir apa yang penting dalam tempoh empat tahun… sekiranya mahu layak (ke LA 2028), kondisi badan dan tahap kecergasan kena berada di tahap sangat baik.

“Ini kerana usia pun semakin meningkat dan paling penting menjaga fizikal untuk sentiasa kekal berada dalam kelompok 10 terbaik,” kata Wooi Yik.

Di Olimpik Paris 2024, Aaron-Wooi Yik berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 22-20, 21-19 dalam satu pertarungan yang begitu sengit.

Kilauan gangsa itu adalah yang kedua buat beregu ranking ketiga dunia itu selepas turut meraihnya di Tokyo 2020.

“Kami bermain di tahap tertinggi di Olimpik kali ini. Dalam setiap perlawanan, kami berikan segala-galanya dan sudah melakukan apa (dipraktikkan) dalam latihan.

“Mungkin hanya ketika saat genting dan itu kena belajar lagi kerana kami kurang dari sudut itu. Ini pun boleh dikatakan satu pengalaman berharga di kejohanan sebegini (Olimpik).

“Bagaimana nak kawal dan menjadikan pemikiran kami lebih baik lagi (di saat genting). Sudah tentu, kekuatan juga kena lagi baik. Seperti China dan India, mereka mempunyai kekuatan.

“Mungkin semua pemain ada kelebihan masing-masing dan sekiranya nak menjadikannya lengkap, kena berada di tahap itu,” kata Wooi Yik.