KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari memuji kesemua pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi meskipun ada antara mereka yang jarang diturunkan namun memberikan aksi yang menakjubkan.

Ini selepas pemain-pemain ini membantu skuad Harimau Selatan layak ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023 dengan menundukkan Penang FC 5-0 dalam aksi suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.

“Gembira kerana layak ke semi final. Ianya cabaran buat kami kerana kami berikan pemain yang mahu bermain minit permainan. Mereka tunjukkan kesungguhan dalam latihan dan ianya terbukti dalam perlawanan ini.

“Mereka mempunyai kualiti dan mahu bermain apabila diperlukan dan saya gembira dengan prestasi yang mereka tunjukkan kerana bukan mudah untuk memberikan persembahan begini apabila jarang diturunkan namun mereka buktikan.

“Kami mempunyai banyak pemain yang baik dan saya gembira Diogo jaringkan gol begitu juga Natxo dan Shane serta semua pemain yang diturunkan. Forestieri gagal jaringkan gol tetapi dia berada pada kedudukan yang tepat untuk membantu pasukan jaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Solari turut gembira dengan aksi yang ditunjukkan semua pemain terutama Syafiq Ahmad.

“Kami menggilirkan pemain kerana kami mempunyai banyak pemain dan bagi barisan kejurulatihan, kami berlatih bersama mereka setiap hari dan gembira melihay mereka berjaya lakukannya seperti dalam sesi latihan.

“Syafiq berjaya jaringkan gol walaupun bermain 10 minit tetapi dia berlatih bersungguh-sungguh umpama perlawanan akhir Piala Dunia. Inilah sikap yang kami mahukan di kelab ini. Mereka mahu meningkatkan lagi tahap kelab ini,” jelasnya gembira.

Bercakap mengenai perlawanan pada Ahad, Solari menegaskan bahawa mereka agak sukar beraksi pada separuh masa pertama tetapi selepas berjaya menjaringkan gol keadaan menjadi lebih mudah.

“Separuh masa pertama agak sukar namun selepas keadaan lebih tenang dan selepas gol pertama kami lebih yakin selain juga bagus ketika bertahan.

“Di separuh masa kedua rentak perlawanan berlainan. Mereka mula menekan, tetapi kami tahu bagaimana mahu keluar dari situasi ini.”