SKUAD hoki kebangsaan kini kembali giat menjalani latihan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Hoki Piala Dunia yang dijadualkan pada Januari 2023 di India.

Pemain-pemain diberi rehat selama sebulan selepas berjaya menempah tiket ke Piala Dunia selepas persembahan cemerlang pada Kejohanan Hoki Piala Asia baru-baru ini dengan menamatkan saingan di kedudukan kedua.

Ketua Jurulatih Negara, A.Arul Selvaraj ketika ditemui FLASH SUKAN memberitahu, semua pemain berada pada tahap terbaik meskipun diberikan cuti yang panjang.

“Walaupun sudah berehat hampir sebulan, namun para pemain menunjukkan keadaan yang baik dan dilihat lebih segar selepas menghabiskan masa berehat bersama-sama keluarga.

“Kami akan menumpukan kepada ‘strength and conditioning’ untuk para pemain dengan 80 peratus daripada sesi latihan di bawah kendalian Ketua Persediaan Fizikal Pemain, Tom Drowley.

“Sesi latihan hoki juga dikurangkan kepada hanya lima sesi sahaja untuk bulan Julai dan 16 sesi pada Ogos berbanding 32 latihan pada kebiasaannya. Ianya juga adalah sesi latihan dengan tempo rendah dan hanya dari sudut teknikal sahaja,” jelas Arul.

Bagi menghadapi Piala Dunia nanti, skuad kebangsaan akan mempersiapkan diri dengan mengambil bahagian dalam Piala Sultan Azlan Shah dan juga Kejohanan Negara-Negara di Afrika Selatan pada Oktober nanti.

 

Selain itu, Arul turut menjelaskan bahawa objektif mereka adalah untuk mengatur seberapa banyak perlawanan persahabatan menentang pasukan yang mempunyai ranking yang lebih baik berbanding Malaysia sebagai salah satu persiapan ke Piala Dunia.

Speedy Tigers layak ke Piala Dunia buat kali kesembilan dan ketiga berturut-turut dan barisan kejurulatihan mahu memastikan Malaysia mampu melangkah lebih jauh dan bukan hanya sekadar pasukan pelengkap.