Skuad senior hoki lelaki kebangsaan layak diberi pujian yang tinggi selepas muncul pasukan kedua terbaik Asia hasil kejayaan memenangi pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Speedy Tigers telah menampilkan prestasi terbaik mereka biarpun tewas 1-5 kepada juara bertahan, India dalam aksi final di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini.
Ia adalah kekalahan pertama Skuad Senior Lelaki Kebangsaan sepanjang kempen di bumi Jepun kali ini dengan keseluruhan mencatat enam kemenangan berturut-turut dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir.
Malah, ia juga merupakan pingat perak ketiga Malaysia dalam sejarah di pentas Sukan Asia, mengulangi pencapaian ketika edisi Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018.
Meskipun terlepas tiket automatik, namun pintu masih terbuka buat Speedy Tigers melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menerusi pusingan kelayakan dijangka pada tahun depan.
Berdasarkan peningkatan prestasi ditunjukkan ketika ini, anak-anak buah Brendon Carolan dilihat berpotensi untuk menyambar slot ke Sukan Olimpik bagi menamatkan penantian 26 tahun sejak kali terakhir pada Sydney 2000.
Malah, Speedy Tigers turut berjaya melonjakkan kedudukan ranking ke No.12 dunia ketika ini, berbanding di tangga ke-14 dunia sewaktu memulakan saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Pastinya, kejayaan bergelar pasukan kedua terbaik Asia dengan peningkatan ranking akan meningkatkan motivasi para pemain yang telah membanggakan seluruh peminat sukan hoki tanah air dengan prestasi begitu cemerlang.
Dalam aksi final kelmarin, Speedy Tigers meraih gol menerusi Shello Silverius, manakala lima jaringan India dihasilkan dua oleh Harmanpreet Singh dan masing-masing satu daripada Jugraj Singh, Hardik Singh serta Shilanand Lakra.