Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, percaya skuad negara mempunyai keupayaan untuk memberi cabaran kepada Vietnam, namun ketajaman di hadapan gol perlu dipertingkatkan menjelang aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, hari ini.
Cheng Hoe melihat beberapa kelemahan yang ditunjukkan Vietnam sepanjang kejohanan sebagai ruang yang boleh dimanfaatkan pemain Malaysia untuk meningkatkan keyakinan ketika berdepan pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah ancaman Vietnam, khususnya ketika lawan melakukan transisi pantas daripada bertahan kepada menyerang.
Menurut Cheng Hoe, Harimau Malaya memiliki pemain berkualiti untuk mengawal permainan, tetapi kelebihan tersebut perlu diterjemahkan dengan penyudah yang lebih berkesan apabila peluang terhidang.
“Sebagai jurulatih, kami yakin. Kami rasa pasukan bermain dengan baik. Kami tahu Vietnam sangat pantas ketika melakukan transisi dan mereka bermain dengan kelajuan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek penyudah menjadi perkara penting bukan sahaja ketika berdepan Vietnam, malah dalam setiap perlawanan yang dilalui Harimau Malaya.
“Kami mempunyai pemain berkualiti yang mampu mengawal permainan. Kami perlu menggunakan peluang yang ada di depan gol dan perlu sangat klinikal, bukan sahaja ketika menentang Vietnam tetapi menentang mana-mana pasukan,” katanya.
Cheng Hoe pada masa sama mahu pemain mengekalkan pendekatan permainan yang sudah dipamerkan sebelum ini dan tidak mengubah identiti pasukan hanya kerana berdepan cabaran berbeza.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua dengan tujuh mata, jumlah sama yang dikumpul Indonesia, namun skuad Garuda muncul juara kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan.
Pertemuan Malaysia dengan Vietnam bagi penentuan tempat ketiga akan berlangsung di Stadium GBK jam 5 petang ini, manakala final antara Indonesia dan Thailand turut diadakan di venue sama pada jam 9 malam waktu Malaysia.