FAIZAL Saari kembali perkuat skuad kebangsaan menghadapi saingan Piala Negara-Negara, di Afrika Selatan hujung bulan ini.
Kehadiran penyerang prolifik itu pasti ditagih pasukan kebangsaan yang muncul naib juara Piala Asia dan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.
Begitupun, pengendali A.Arulselvaraj enggan memberi tekanan tinggi kepada pasukan dan meletakkan sasaran awal ke separuh akhir.
Arul berkata, meskipun Malaysia adalah pasukan di ranking tertinggi (10) dalam kejohanan itu, sasaran awal ke separuh akhir lebih realistik.

Pengumuman skuad hoki yang membawa cabaran negara di Piala Negara-Negara
“Saingan di Afrika Selatan nanti, saya mahu pemain lebih menyerlah berbanding di Piala Sultan Azlan Shah. Seperti juga kita lakukan di Piala Sultan Azlan Shah, pendekatan berbeza berbanding di Piala Asia yang menyaksikan kita tewas kepada Korea Selatan di final, biarpun menang dalam aksi peringkat kumpulan.
“Pada aksi di Ipoh juga kita ada memikirkan permainan bagaimana untuk kita bawa di Piala Negara-Negara nanti kerana di sana nanti, kita akan bermain pada waktu berbeza, lokasi berbeza dan beraltitud tinggi,” kata Arul, dalam sidang media pengumuman pemain ke Kejohanan Piala Negara-Negara, di Afrika Selatan.
Kejohanan itu akan bermula 28 November hingga 4 Disember ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Najmi Razak mengumumkan 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Potchefstroom, dan menariknya nama penyerang prolifi Faizal Saari tersenarai kali ini.

Senarai 20 pemain hoki negara ke Piala Negara-Negara, di Afrika Selatan
“Dua pemain dari skuad Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini tidak tersenarai kerana mengalami kecederaan iaitu Muhammad Syafiq Hassan (pertahanan) dan Mohd Zaimi Mat Deris (penjaga gol).
“Beberapa pemain tonggak berpengalaman seperti Marhan Jalil, Shahril Saabah juga tidak tersenarai kerana belum pulih dari kecederaan,” kata Najmi.
Justeru, beliau mengumumkan selain penjaga gol utama, Muhammad Hafizuddin Othman, Adrian Andy Albert dipanggil memperkuat benteng terakhir Speedy Tigers.
Di benteng pertahanan pula diketuai Razie Rahim, kapten Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Zulpildaus Mizun, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhammad Najib Abu Hasan dan Syarman Mat Tee.
Bahagian tengah pula diketuai Firhhan Ashaari, Meor Muhammad Azuan Hassan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Amirul Hamizazn Azahar.
Jentera serangan yang dibawa ke Afrika Selatan pula terdiri daripada Norsyafiq Sumantri, Mohamad Ashran AHamsani, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim, Shello Siolverius, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Faizal Saari dan Muhamad Ramadan Rosli.
Syarman Mat Tee akan mendapat kaps pertama dalam skuad kali ini.
“Skuad negara akan berlepas ke Potchefstroom kira-kira jam 7 malam esok dan kembali ke tanahari pada 5 Disember,” kata Najmi lagi.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Kebangsaan Datuk Mirnawan Nawawi berkata, pasukan negara bertolak awal ke Afrika Selatan bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan altitud tinggi di sana.
“Pasukan akan jalani latihan pada 23 November hingga 27 November untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan kering selain venue beraltitude tinggi. Kita juga sudah merancang beberapa siri perlawanan ujian termasuk menentang Afrika Selatan,” katanya.
Malaysia diletakkan dalam kumpulan B, akan membuka saingan menentang Korea Selatan pada 28 November, Kanada (29 November) dan Jepun (1 Disember).