PENCAPAIAN sembilan emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sekadar menyamai rekod terbaik negara, malah mahu dijadikan penanda aras baharu Majlis Sukan Negara (MSN) dalam usaha melonjakkan prestasi atlet ke tahap lebih tinggi.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, berkata kejayaan kontinjen negara membuktikan kemampuan atlet Malaysia untuk bersaing di pentas Asia dan pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada perancangan lebih kukuh bagi menghadapi cabaran seterusnya.
“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada seluruh kontinjen Malaysia atas pencapaian bersejarah ini. Terima kasih kerana perjuangan hebat anda semua dan kerana telah mengharumkan nama Malaysia,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Malaysia menamatkan saingan dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa, menyamai pencapaian terbaik negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010. Karate menyumbang dua emas menerusi Adeola Fay Robert dan Shahmalarani Chandran, manakala Taj Izrin Aiman Taj Madira mencipta sejarah sebagai wakil e-sukan pertama negara meraih emas menerusi Gran Turismo 7.
Sepak takraw turut menamatkan penantian 36 tahun menerusi acara regu berpasukan lelaki, manakala skuasy mendominasi dengan empat emas menerusi Ng Eain Yow, Sivasangari Subramaniam, skuad wanita berpasukan dan skuad lelaki berpasukan. Datuk Mohd Azizulhasni Awang pula menghadiahkan emas dalam acara keirin lelaki.
Jefri berkata kejayaan itu lahir daripada usaha bersama atlet, jurulatih, pasukan sokongan, perubatan, sains sukan, pengurusan kontinjen serta keluarga, sekali gus menegaskan setiap pingat yang diraih adalah hasil kerja berpasukan.
“Setiap pingat yang dimenangi turut menjadi milik jurulatih, pasukan sokongan, keluarga dan semua pihak yang telah membantu perjalanan mereka,” katanya.
Menurutnya, MSN kini perlu memastikan pencapaian di Aichi-Nagoya menjadi asas untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuh program pembangunan atlet, dengan sasaran mempertahankan prestasi pada Sukan SEA 2027 di tanah air sebelum memburu emas Olimpik pertama negara di Los Angeles 2028.
“Kita meraikan kejayaan hari ini, tetapi pada masa sama perlu melihat ke hadapan. Setiap kejayaan harus menjadi asas untuk kita bekerja lebih keras, memperbaiki kelemahan dan membina kejayaan lebih besar pada masa akan datang,” katanya.