KETUA jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh menegaskan kemenangan ke atas Canada bukan sekadar melepaskan tekanan, tetapi bukti pemain mampu bangkit dengan disiplin tinggi apabila perlawanan menuntut karakter. Namun, beliau mengingatkan bahawa ujian sebenar menanti apabila Malaysia bakal berdepan India yang jauh lebih agresif dan konsisten dalam setiap fasa permainan.
Sarjit berkata beliau berpuas hati dengan komitmen pemain terutama dalam mengekalkan struktur bertahan sepanjang 60 minit.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan usaha dan disiplin pemain untuk mendapatkan kemenangan pertama,” jelasnya.
Beliau turut memuji prestasi benteng negara yang berjaya meredam ancaman berbahaya Canada, terutama dalam situasi pukulan sudut penalti.

“Pertahanan PC dan penjaga gol bermain dengan cukup baik untuk menghalang Canada daripada menjaringkan gol,” kata Sarjit, sambil menyifatkan satu jaringan daripada tiga PC sebagai perkembangan positif yang perlu diteruskan.
Namun, jurulatih berpengalaman itu menekankan bahawa Malaysia perlu lebih kemas dalam penguasaan bola dan ketajaman serangan.
“Kita perlu kawalan bola yang baik, cipta lebih banyak peluang dan penyudah mesti lebih tajam jika mahu keputusan baik menentang India,” tambahnya.
Sarjit mengakui India bukan lawan mudah, namun percaya kemampuan sebenar Malaysia mampu muncul jika pemain tampil dengan keyakinan penuh.
“Ia akan jadi perlawanan yang sukar, tetapi saya harap pemain dapat beraksi dengan baik. Marking pertahanan mesti ketat. Kita ada kemampuan untuk menang dan saya harap pemain bangkit pada waktunya,” katanya.

Malaysia menunjukkan karakter kukuh untuk kembali bangkit dalam perlawanan tersebut, terutama selepas Canada dua kali mendahului. Keberkesanan pertukaran taktikal dan peningkatan intensiti selepas suku pertama banyak membantu Malaysia menutup ruang serangan lawan serta kembali menguasai perlawanan.
Aksi penuh mendebarkan itu berakhir dengan kemenangan 3-2 buat Malaysia menerusi jaringan Mohd Fitri Saari (5’), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (20’) dan Faizal Saari (25’, PC), sekali gus menghadiahkan tiga mata pertama buat kem negara dalam edisi ke-31 Sultan Azlan Shah Cup.