MASA depan hoki Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila barisan muda negara semakin matang hasil program pembangunan akar umbi sedia ada.
Keberkesanan program TNB Thunderbolts, sekali lagi terbukti apabila lima produknya iaitu Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari, Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar, Naaveennesh Panicker dan Muhammad Harris Iskandar Osman dipilih menyertai skuad negara ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 FIH di Tamil Nadu, India hujung bulan ini.
Penyertaan lima pemain remaja ini menggambarkan bagaimana sokongan jangka panjang sistem pembangunan hasil Program Pembangunan Hoki Remaja Negara, TNB Thunderbolts, memainkan peranan utama dalam memastikan kesinambungan bakat di setiap peringkat bermula di sekolah, ke kelab senior, hinggalah ke pasukan kebangsaan.

TNB Thunderbolts menyediakan laluan untuk pemain remaja menguasai kemahiran teknikal, kecergasan optimum dan pemahaman taktikal sebelum melangkah ke tahap lebih tinggi.
Sokongan menyeluruh TNB Thunderbolts turut membantu mewujudkan ekosistem latihan yang stabil, konsisten, relevan serta menjadikan laluan untuk pemain muda negara kini semakin tersusun dan terbuka luas.
Usaha itu bukan sahaja memperkukuh lapisan pelapis, tetapi juga menyokong kesinambungan pasukan senior melalui penghasilan bakat yang tersedia sejak lebih awal.
Dengan model pembangunan yang terbukti berhasil dan sokongan berterusan TNB, hala tuju hoki Malaysia diyakini mampu melangkah ke masa depan yang lebih kompetitif di pentas dunia.