PENGENDALI Buriram United, Osmar Loss mengakui lega dapat membawa pulang satu mata apabila mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-0 pada aksi keenam Peringkat Liga Zon Timur dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Jurulatih kelahiran Brazil itu turut menyatakan sebarang keputusan seri dalam saingan ACLE ketika beraksi di tempat lawan adalah perkara yang menggembirakan walaupun dilihat mempunyai peluang untuk meraih tiga mata apabila JDT bermain 10 pemain selama 35 minit.
“Kami gagal untuk mengambil kesempatan ketika kami mempunyai kelebihan seorang pemain namun saya tetap berpuas hati dengan komitmen setiap pemain yang bertungkus lumus beraksi mengikut perancangan taktikal yang dibuat.

Satu mata penting buat Buriram United di tempat lawan
“Apa yang saya dapat kesan apabila JDT bermain dengan 10 pemain, mereka mengubah struktur permainan kerana selalunya mereka akan mengawal corak serangan dan apabila tanpa seorang pemain mereka kerap berada di bawah dan menunggu kami menyerang sebelum melakukan serangan balas yang cukup berbahaya buat kami.
“Saya kurang gembira dengan corak permainan kerana kedua-dua pasukan bermain dalam keadaan beremosi namun saya memahaminya kerana mereka mahu membuktikan siapa pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Di tanya mengenai bebarapa keputusan pengadli perlawanan, Khalid Saleh Alturais dari Arab Saudi, yang agak meragukan, Loss enggan mengulas lebih lanjut dan menegaskan Video Bantuan Pengadil (VAR) memainkan peranan penting dalam perlawanan itu.
“Sebagai jurulatih, saya harus kawal semua pemain dalam pasukan, strategi permainan, kawal corak permainan yang ditampilkan tapi bukan pengadil, sebaliknya pemain juga perlu lebih tenang beraksi dan tidak mengikut emosi,” jelasnya.
Keputusan seri ini juga kembali membuka peluang Buriram United layak ke pusingan seterusnya namun Loss sedar laluan berliku menanti mereka apabila bakal berhadapan dua kelab dari Republik Korea, Ulsan HD dan Gwangju FC pada Februari 2025.