SELANGOR Red Giants Esports bangkit penuh bergaya daripada episod duka minggu lalu apabila berjaya menundukkan Bigetron MY by Vitality (BTRM) dalam aksi penuh dramatik di MPL MY.

Sebelum tirai minggu ke-6 dibuka, SRG terlebih dahulu menerima tamparan besar selepas kapten mereka, Mark ‘Kramm’ Genzon Sojero Rusiana dikenakan penggantungan tujuh perlawanan oleh pihak liga.

Kehilangan tonggak utama itu memaksa SRG melakukan rombakan segera apabila pemain ‘jungler’ mereka, Unii diarahkan mengambil tanggungjawab baharu di posisi Exp Laner.

Namun, permulaan minggu ke-6 tidak memihak kepada SRG apabila mereka dikejutkan AC Esports dengan kekalahan 1-2, sekali gus menamatkan rekod cemerlang mereka sebelum ini.

Tekanan mula memuncak menjelang aksi penutup minggu ke-6, namun SRG turun dengan satu misi jelas , bangkit semula dan membuktikan mereka belum rebah walaupun tanpa kelibat sang kapten.

Pertembungan menentang BTRM bermula dengan mimpi ngeri apabila SRG terpaksa akur tumbang pada pusingan pertama selepas gagal menahan asakan agresif pihak lawan.

Tetapi seperti seekor gergasi yang enggan tumbang, SRG bangkit semula dengan permainan lebih kemas dan agresif sebelum melengkapkan ‘reverse sweep’ sensasi ke atas Cikugais dan rakan sepasukannya.

Unii muncul wira malam tersebut apabila aksi cemerlangnya membantu SRG meraih kemenangan penting, sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan diiringi sorakan gemuruh daripada penyokong di arena Quill City Mall.

Kemenangan penuh emosi itu membuktikan SRG masih memiliki jiwa juara, malah cabaran besar yang melanda mereka hanya menjadikan pasukan itu semakin sukar untuk dijatuhkan.