KEMENTERIAN Belia dan Sukan Malaysia kini memberi tumpuan serius terhadap pembangunan e-sukan apabila merangka garis panduan komprehensif bagi memastikan industri itu berkembang secara selamat dan terkawal.
Menterinya Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari menegaskan pendekatan baharu ini bertujuan mewujudkan ekosistem lebih sihat khususnya untuk golongan muda yang semakin aktif dalam arena digital.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa khas melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia dan agensi berkaitan menjadi langkah penting dalam menggubal dasar yang lebih menyeluruh.
Pendekatan ini turut disokong oleh penglibatan pakar perubatan dan psikiatri bagi memastikan keseimbangan antara aktiviti e-sukan dan kesihatan fizikal serta mental pemain.
Antara fokus utama adalah memberi panduan jelas mengenai tempoh permainan yang sesuai, kepentingan rehat serta galakan terhadap aktiviti fizikal.
Dalam masa sama, KBS mengakui bahawa e-sukan tidak boleh disekat sepenuhnya, sebaliknya perlu dibimbing agar menjadi medium positif kepada pembangunan belia.
Langkah ini juga dilihat sebagai usaha menjaga kebajikan atlet sedia ada selain membuka ruang kepada pencarian bakat baharu dalam industri yang semakin berkembang.
Malaysia sebelum ini telah membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa di e-sukan yang memperlihatkan dalam Mobile Legends: Bang Bang kategori wanita di Sukan SEA 2025 berjaya mendapatkan emas pertama bagi kategori tersebut.
Kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama negara.
Selain aspek sukan, kerajaan turut melihat e-sukan sebagai industri berpotensi besar yang mampu menarik pelaburan asing dan menjana ekonomi dengan garis panduan yang bakal diperkenalkan, e-sukan negara dijangka memasuki fasa baharu yang lebih tersusun, selamat dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.