Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menyokong penuh ketegasan Datuk Seri Lee Chong Wei dalam isu disiplin pemain dengan menyifatkan aspek itu sebagai tunjang utama untuk melahirkan atlet berjaya.

Menurut Rexy, beliau bukan sahaja bersetuju dengan pendirian Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, malah menganggap disiplin sebagai perkara paling penting dalam kehidupan dan karier seseorang atlet.

“Baru-baru ini Chong Wei bercakap mengenai disiplin pemain dan saya bukan sekadar setuju 100 peratus, malah 10,000 peratus menyokong perkara itu.

“Bukan dalam sukan sahaja, dalam kehidupan harian, perniagaan atau apa juga bidang, semuanya memerlukan disiplin,” katanya.

Sebelum ini, Chong Wei menegaskan isu disiplin perlu diberi perhatian serius jika skuad negara mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi.

Mengulas lanjut, Rexy menjelaskan disiplin bukan bermaksud pemain tidak mendengar arahan jurulatih, sebaliknya berkait rapat dengan sikap dan tanggungjawab sebagai atlet kebangsaan.

Katanya, ada pemain muda yang kadangkala terlalu leka dengan kehidupan semasa sehingga terlupa bahawa mereka kini sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

“Kadang-kadang pemain masih muda dan mereka terlupa, jadi tugas kami untuk sentiasa mengingatkan.

“Mereka perlu faham apabila sudah bersama BAM, mereka bukan lagi individu biasa kerana setiap tindakan mereka akan diperhatikan orang ramai,” katanya.

Menurut Rexy, semua peraturan yang diwujudkan dalam skuad kebangsaan bukan bertujuan menyekat kebebasan pemain, tetapi untuk membantu mereka mencapai kejayaan lebih besar.

Beliau berkata, disiplin perlu dijadikan budaya jika mahu melahirkan pemain bertaraf dunia secara konsisten.

“Kalau di rumah pun ada peraturan dan disiplin. Jadi apabila berada dalam pasukan kebangsaan, sudah tentu ada garis panduan yang perlu dipatuhi.

“Ini bukan tempat untuk seseorang buat sesuka hati hanya kerana dia pemain kebangsaan,” katanya.

Rexy turut menjelaskan skuad negara sebenarnya masih belum mengenakan hukuman terlalu ketat seperti dilakukan beberapa negara lain yang mengenakan denda besar terhadap atlet bermasalah.

Sebaliknya, pendekatan di BAM lebih kepada memberi peringatan dan peluang kepada pemain untuk memperbaiki diri.

“Kita belum sampai tahap pemain balik lewat dikenakan denda besar atau hukuman berat lain.

“Kita masih beri nasihat dan cuba bantu mereka faham bahawa disiplin itu penting untuk kejayaan,” katanya.

Namun, beliau menegaskan tindakan lebih tegas perlu diambil jika seseorang pemain terus mengulangi kesalahan sama walaupun sudah diberikan beberapa amaran.

“Amaran memang perlu diberi, tetapi kalau kesalahan sama berlaku berkali-kali, itu sudah jadi masalah besar.