SKUAD Sri Pahang FC melakukan transformasi pasukan menjelang musim baharu Liga Malaysia 2024-25 apabila melepaskan 10 pemain termasuk pemain import dan pemain senior yang sudah lama menabur bakti bersama kelab.

Menurut hantaran yang dimuatnaik oleh laman media sosial rasmi kelab, Tok Gajah mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada pemain yang dilepaskan.

“Sri Pahang FC merakamkan ucapan terima kasih kepada 10 pemain yang tidak lagi akan bersama kelab bagi mengharungi Liga Malaysia 2024.

“Komitmen, dedikasi dan keringat yang dicurahkan Kevin Ingreso, Michael Glassock, Lucas da Silva, Sherzod Fayziev, Nicholas Swirad, Muslim Ahmad, Malik Mat Arif, Zuhair Aizat, Wan Syazmin dan Shahrul Nizam sepanjang menyarung jersi Tok Gajah, serta impak positif yang dibawa kepada kelab akan sentiasa dihargai dan dikenang. Terima kasih, semoga terus berjaya bersama pasukan baru,” tulis kenyataan itu.

Perkara ini sekali gus bakal menjadi kesan domino kepada pasaran pemain dengan lebih ramai pemain berstatus ejen bebas dan membolehkan mereka menyertai mana-mana pasukan yang memerlukan khidmat pemain-pemain utama ini.

Ianya juga memberikan gambaran bahawa Sri Pahang akan memperkasakan skuad dengan membawa masuk muka-muka baharu bagi mengharungi musim baharu yang dijangka lebih menarik dan kompetitif.

Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kelima dengan 45 mata dari 26 perlawanan dengan Kpah Sherman muncul penjaring terbanyak kelab dengan 12 gol dan lapan bantuan jaringan manakala Izham Tarmizi mencatat enam ‘clean sheets’.