STADIUM baharu dimiliki sepenuhnya Sabah FC bakal dibangunkan di atas tanah seluas 9 ekar di Kota Kinabalu.
Begitupun, pembinaan stadium khas untuk bola sepak itu memerlukan dana sekurang-kurangnya RM50 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir bagaimanapun berkata, bilakah impian itu dapat tercapai belum dapat didedahkan kerana pihaknya perlu menyelesaikan urusan hak milik tanah yang terletak tidak jauh dari Stadium Likas itu.
“Ya memang kita ada perancangan mengenainya dan larakarannya juga sudah ada, disediakan jurutera dilantik.

CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir mahu kelab terbabit memiliki stadium sendiri dan berharap urusan pembinaan stadium di atas tanah seluas 9 ekar dapat diselesaikan./Pix Azri Haziq
“Stadium yang kita mahu bina itu hanya khas buat bola sepak yang boleh memuatkan kira-kira 15,000 hingga 20,000 tempat duduk,” kata Marzuki, yang mengambil alih tampuk kepimpinan Sabah FC daripada bekas CEO, Khairul Firdaus Akbar Khan yang kini Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Menurut beliau, ketika ini pihaknya menyewa stadium sedia ada iaitu Stadium Likas daripada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Keadaan Stadium Likas agak uzur dan pengurusan perlu menaik taraf mengikut kriteria minimum ditetapkan AFC, kerana Sabah FC akan beraksi dalam Piala AFC./Pix Azri Haziq

Stadium Likas menjadi antara venue yang menerima paling ramai penykong dalam kancah Liga Super 2023, selepas Stadium Sultan Ibrahim, Johor./Pix Azri Haziq
“Rancangan pembinaan stadium sendiri ini hadir selepas kita terpaksa mengeluarkan banyak belanja untuk sewa, malah untuk menaik taraf, baik pulih juga berdepan kesukaran apa lagi untuk kelab Sabah FC menjana pendapatan sendiri.
“Kami mahukan stadium yang kami boleh ada kawalan dari segi hak siaran, komersil seperti sewaan kedai, merchandise. Malah kita mahukan stadium baharu yang dilengkapi pejabat, gimnasium dan bilik persalinan yang baik,” katanya.

Bilik persalinan pemain di Stadium Likas… pembeli pakej Bola In The City mendapat peluang Tour Stadium./Pix Azri Haziq
Ditemui pada pelancaran Bola In The City di Kota Kinabalu, beliau berkata, permohonan tanah seluas 9 ekar itu sudah dibuat kepada SAFA sejak tahun lalu: “Tapi semuanya bergantung kepada kelulusan daripada kerajaan negeri kerana tanah itu milik komuniti tempatan.

Difahamkan, stadium baharu Sabah FC akan dibina bersebelahan padang latihan rasmi Sabah FC./Pix Azri Haziq
“Permohonan tanah untuk pembinaan stadium baharu juga bergantung kepada keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Safa bulan depan. Apa hasilnya pada mesyuarat itu, bakal menentukan hala tuju kita dalam usaha membangunkan sebuah stadium baharu kerana kerajaan negeri juga sudah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf Stadium Likas (dua bulan lalu) bagi mengikut spesifikasi minimum Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), berikutan Sabah FC beraksi dalam kancah Liga AFC tahun ini.”
Idea pembinaan stadium serba sederhana khas untuk bola sepak itu hadir selepas pihaknya membuat lawatan ke Craven Cottage iaitu gelanggang Fulham FC.
Ketika ini, Stadium Likas yang dibina sejak 1983, mampu memuatkan 22,000 penonton.